Satu maut, dua cedera paip gas meletup di Lawas

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang meninggal dunia selepas saluran Paip Gas Sabah Sarawak (SSGP) Petronas di Long Ugui, Lawas meletup pada, kira-kira jam 2 petang Rabu. - Foto media sosial
Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang meninggal dunia selepas saluran Paip Gas Sabah Sarawak (SSGP) Petronas di Long Ugui, Lawas meletup pada, kira-kira jam 2 petang Rabu. - Foto media sosial
A
A
A

LAWAS - Seorang maut manakala dua lagi cedera selepas saluran Paip Gas Sabah Sarawak (SSGP) Petronas di Long Ugui, Lawas meletup pada, kira-kira jam 2 petang Rabu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memaklumkan, satu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas telah digerakkan ke lokasi kejadian pada jam 2.50 petang seletas menerima laporan.

Setibanya di lokasi, komander operasi memaklumkan keluasan kebakaran dan letupan dianggarkan pada jarak radius 400 meter dan kebakaran turut melibatkan sebuah motosikal, sebuah ekskavator, sebum bulldozer dan sebuah lori.

"Seorang mangsa disahkan meninggal semasa berada dalam ekskavator manakala dua lagi mangsa telah cedera melecur di beberapa anggota badan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Menurutnya, mangsa yang maut dikenali sebagai Hadi Wiyono manakala dua yang cedera hanya dikenali sebagai Hendrick dan Gabriel Meripa.

Punca kebakaran masih dalam siasatan dan difahamkan pihak Petronas akan mengeluarkan kenyataan mengenai kejadian itu.

Sementara itu, Residen Bahagian Limbang, Sebi Abang meminta orang ramai di kawasan Long Ugui, Lawas agar tidak menghampiri kawasan tapak projek SSGP susulan kejadian letupan yang dilaporkan pada Rabu.

Beliau berkata, semua pihak juga diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden terbabit yang melibatkan saluran paip di antara Long Ugui dan Long Sukang.

Artikel Berkaitan:

Sebi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Bahagian Limbang enggan mengulas lanjut berita tular yang membabitkan kemalangan jiwa dan pekerja dalam insiden berkenaan yang dilaporkan kepada Bomba dan Penyelamat kira-kira jam 2.49 petang.

"Kita tunggu laporan rasmi pihak berkuasa kerana perkara ini sekarang berada di bawah kawalan pihak berkenaan," tambahnya. - Bernama