Seorang maut, enam cedera nahas 7 motosikal

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah. Gambar kanan: Antara motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 259.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara pada Jumaat.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah. Gambar kanan: Antara motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 259.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang penunggang maut, manakala enam lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tujuh motosikal di Kilometer 259.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian jam 2.40 pagi itu, Sheikhrul Razi Ab Kadir, 19, yang beralamat di Taman Saga, Ampang Selangor meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian kesemua penunggang motosikal terbabit dalam perjalanan dari kedai makan di Senawang menghala ke Ampang, Selangor.

"Namun apabila sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas di lorong tengah.

"Kejadian itu menyebabkan enam penunggang motosikal lain yang berusia antara 17 hingga 21 tahun termasuk seorang wanita tidak sempat mengelak dan berlanggar sesama sendiri," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, pelanggaran itu mengakibatkan mangsa maut di lokasi kejadian akibat cedera parah pada keseluruhan bahagian badan.

Tambahnya, dua penunggang motosikal lain parah dan empat lagi cedera ringan telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini untuk rawatan lanjut.

"Ketika kejadian keadaan jalan tidak sibuk dan cuaca juga baik.

"Individu yang menyaksikan kemalangan itu atau mempunyai rakaman video berkaitan kes diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Nanda berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.