Nelayan disaran guna PLB, jaket keselamatan sebelum ke laut

Mohd Khairulanuar
Mohd Khairulanuar
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Komuniti nelayan disarankan menggunakan Personal Locator Beacon atau Pengesan Lokasi Individu (PLB) dan jaket keselamatan sebelum turun ke laut terutama pada musim tengkujuh.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Majid @ Razali berkata, ia sebagai langkah keselamatan serta membantu menjadi petunjuk dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) jika berdepan kecemasan.

"Setiap nelayan disarankan mempunyai satu PLB untuk memudahkan kita mengesan lokasi mereka jika berdepan kecemasan memandangkan operasi menyelamat di laut agak sukar kerana ia begitu luas. Jika gunakan PLB, tugas menyelamat lebih lancar.

"Kita juga sarankan supaya mereka memakai jaket keselamatan sebelum turun ke laut walaupun hanya melibatkan aktiviti menangkap ikan di pesisir pantai. Bahaya tidak boleh dibaca, jika berlaku kes kecemasan kemungkinan untuk selamat itu tinggi," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini.

Sementara itu, Mohd Khairulanuar menasihatkan supaya kumpulan nelayan memastikan kesemua peralatan serta bot berada dalam keadaan baik sebelum turun ke laut.

Katanya, ia bagi memastikan tahap keselamatan dalam keadaan baik sekali gus melancarkan perjalanan setiap nelayan.

"Kita tak halang nelayan turun ke laut, tapi pastikan peralatan dalam keadaan baik dan maklumkan juga lokasi dimana bagi memudahkan usaha mencari sekiranya dilaporkan hilang," kata beliau.

Katanya, berdasarkan statistik, sebanyak 18 operasi carilamat melibatkan 54 mangsa telah dijalankan di Terengganu sepanjang tempoh Januari hingga 15 November 2022.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Khairulanuar berkata, Maritim meningkatkan rondaan pada musim tengkujuh bagi mengelak nelayan asing mengambil kesempatan menceroboh perairan negara.

"Sejak Januari lalu sehingga semalam (15 November), sebanyak 22 bot nelayan asing telah ditahan melibatkan rampasan bernilai RM33.4 juta.

"Kita turut menjalankan pemantauan dari udara meliputi kawasan pulau yang menjadi lokasi tumpuan nelayan asing ketika musim monsun. Setakat ini tiada tanda-tanda kehadiran mereka," katanya.