PH-BN disaran wujud kabinet bayangan di negeri tewas PRN

PH-BN disaran mewujudkan kabinet bayangan di negeri yang mereka tewas dalam PRN. Gambar kecil: Mohd Muzzammil
PH-BN disaran mewujudkan kabinet bayangan di negeri yang mereka tewas dalam PRN. Gambar kecil: Mohd Muzzammil
A
A
A

ALOR SETAR - Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) disaran mewujudkan kabinet bayangan di negeri-negeri yang mereka tewas dalam pilihan raya negeri (PRN).

Pemerhati politik, Dr Mohd Muzzammil Ismail berkata, PH-BN wajar memasukkan perkara itu sebagai agenda pasca PRN di Kedah, Terengganu dan Kelantan untuk bangkit semula selepas kekalahan teruk di negeri berkenaan.

Menurutnya, pembentukan kabinet bayangan itu bukan untuk 'syok' sendiri, sebaliknya dijadikan medium sebagai semak imbang kepada kerajaan negeri.

“Mereka yang dipilih sebagai Exco bayangan ini tidak semestinya kalangan calon yang bertanding. Kabinet bayangan ini juga tidak seharusnya dianggotai hanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kedua-dua parti, sebaliknya disertai individu pelbagai latar belakang,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Mohd Muzzammil yang juga Bendahari UMNO Bahagian Kuala Kedah berkata, penyertaan harus lebih menyeluruh dengan memilih individu berdasarkan kredibiliti, pengalaman selain kepakaran dalam pentadbiran.

“Ia penting untuk ‘check and balance’ selain memantau perjalanan kerajaan negeri khususnya di Terengganu yang tidak mempunyai pembangkang di negeri itu.

“Untuk Kedah, tiga ADUN pembangkang diwakili parti DAP dan PKR, manakala tiada wakil dari Parti Amanah Negara (Amanah) dan BN. Keseimbangan amat perlu untuk memastikan kerajaan negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN) tidak sekadar selesa,” jelasnya.

Menurutnya, kabinet bayangan ini juga dapat memainkan peranan untuk memantau janji manifesto PN yang diwar-warkan dalam kempen PRN lalu sama ada dilaksanakan atau sekadar janji manis.

Artikel Berkaitan:

“Biarpun pelantikan itu tidak terikat dengan mana-mana peruntukan perlembagaan dan ia lebih kepada persiapan awal sekiranya PH-BN kembali mentadbir negeri pada PRU akan datang,” katanya.

PRN yang diadakan Sabtu lepas menyaksikan PN dan gabungan PH-BN masing-masing mengekalkan status quo di tiga negeri masing-masing.

Namun prestasi UMNO/BN semakin merudum apabila hanya memperoleh 19 kerusi daripada 108 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

UMNO gagal meraih sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu, selain hanya mengekalkan satu kemenangan di DUN Galas, Kelantan.

Namun parti itu cemerlang di Negeri Sembilan apabila memenangi 14 daripada 17 kerusi DUN selain masing-masing dua kerusi di Pulau Pinang dan Selangor.