PRU15: Majikan digesa pertimbang cuti kelepasan am

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

PUTRAJAYA - Majikan digesa agar mempertimbangkan cuti kelepasan am Jumaat dan Sabtu bagi memberi peluang kepada pekerja untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada hujung minggu ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, cuti umum yang telah diisytiharkan oleh kerajaan Persekutuan merupakan cuti am yang diperuntukkan kepada pekerja di sektor swasta menurut seksyen 60D (1)(b) Akta Kerja 1955.

"Berdasarkan peruntukan ini, majikan boleh menggantikan mana-mana hari lain sebagai ganti cuti am bergaji kepada pekerja," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, majikan dikehendaki memaklumkan kepada pekerja mereka sama ada memilih tarikh pada 18 dan 19 November sebagai hari cuti am atau menggantikannya dengan tarikh-tarikh lain.

"Sekiranya tiada penggantian, pekerja yang bekerja pada tarikh-tarikh tersebut layak menerima kadar gaji bagi cuti am," katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Jumaat dan Sabtu sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan pekerja termasuk sektor swasta untuk pulang ke kampung membuang undi.

Lebih 21 juta rakyat negara ini layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini termasuk mereka yang dikategorikan sebagai pengundi awal.

Artikel Berkaitan: