Sistem pengangkutan awam negara ‘sakit tenat’: Pakar

Teik Hua (kanan) ketika menjadi tetamu program terbaharu Sinar Harian, Last Lap bertajuk Pengangkutan Awam: Cabaran dan Penyelesaian, yang dihoskan Kamarul Bahrin Haron.
Teik Hua (kanan) ketika menjadi tetamu program terbaharu Sinar Harian, Last Lap bertajuk Pengangkutan Awam: Cabaran dan Penyelesaian, yang dihoskan Kamarul Bahrin Haron.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dicadang supaya mewujudkan satu kertas putih pengangkutan awam bagi membolehkan sistem perkhidmatan penting itu segera menjalani reformasi secara menyeluruh.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata, perubahan besar terhadap sistem pengangkutan awam perlu disegerakan memandangkan situasi kini sudah ‘tenat’.

Jelas Teik Hua yang juga pakar keselamatan jalan raya, situasi yang berlaku di Lembah Klang ketika ini seharusnya memberi kesedaran kepada kerajaan untuk melakukan perubahan kepada sektor pengangkutan awam di seluruh negara

“Saya berpandangan sistem pengangkutan awam kita sudah sakit tenat (jadi) kita mesti buat perubahan yang cukup besar bukan hanya tertumpu di kawasan tertentu semata-mata.

“Tetapi kita perlu bermula daripada akar (dari awal). Kalau kita hendak ubah sistem pengangkutan, kita tidak boleh tertumpu di lembah Klang sahaja, namun seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kita perlu akui, kita agak ketinggalan dalam membangunkan sistem pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan sebagainya di Kuala Lumpur tetapi kita masih belum terlambat untuk melaksanakan di tempat-tempat lain sebelum ia menjadi tenat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program terbaharu Sinar Harian, Last Lap bertajuk Pengangkutan Awam: Cabaran dan Penyelesaian, yang dihoskan Kamarul Bahrin Haron.

Tambahnya, kewujudan kertas putih pengangkutan awam merupakan langkah terbaik untuk memastikan perubahan terhadap perkhidmatan tersebut selari dengan galakan kerajaan untuk memastikan rakyat menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Teik Hua turut mengakui kerajaan ketika ini belum mempunyai polisi yang lebih jelas dan teratur mengenai hala tuju sistem pengangkutan awam negara.

Keadaan itu katanya, menyebabkan sistem pengangkutan awam tidak berfungsi secara menyeluruh kerana tiada fokus yang jelas mengenainya dilaksanakan kerajaan.

“Saya rasa masalah paling besar (melibatkan pengangkutan awam) adalah kita tidak mempunyai satu polisi yang jelas ke mana hala tuju kita, mahukan ia berorientasikan awam atau persendirian.

“Ini dapat dilihat dengan jelas apabila pembangunan yang dilaksanakan kerajaan sangat bercanggah. Mengapa saya kata bercanggah, kita lihat banyak lebuh raya dibangunkan dan saya yakin polisi yang dibuat ini untuk menarik lebih ramai pengguna kenderaan persendirian menggunakan lebuh raya yang dibina itu.

“Namun, dalam masa sama kerajaan berbelanja berbilion ringgit untuk membangunkan LRT, MRT dan sebagainya. Persoalannya di sini kerana hendak tumpukan yang mana?,” soalnya.

Justeru,beliau menggesa supaya kerajaan segera mewujudkan polisi yang jelas mengenai hala tuju kerajaan terhadap pengangkutan awam kerana pembangunan yang dibuat ketika ini tidak selari dengan hasrat untuk menggalakkan lebih ramai gunakan pengangkutan awam.