Insiden kebakaran Rapid perlu siasatan menyeluruh

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Insiden kebakaran di loji Projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid), Pengerang di Kota Tinggi jam 1.25 pagi tadi memerlukan siasatan yang menyeluruh.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, menjadi satu kerugian sekiranya kejadian malang yang berlaku di fasiliti mega itu tidak ditangani dengan sebaiknya memandangkan ia salah satu pemacu ekonomi negara pada masa hadapan.

“Semoga tiada kemalangan jiwa berlaku dan diharapkan keadaan Kompleks Rapid, Pengerang sentiasa terkawal. Pada saat malang ini, saya tidak mahu terburu-buru mencari salah dan siapa yang bersalah.

“Bagaimanapun, Rapid adalah pelaburan besar dan strategik kerajaan Malaysia. Maka suatu siasatan menyeluruh perlu dilakukan Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa dan dibentangkan di dalam Kabinet kemudiannya ke Parlimen Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan makluman sebelum ini projek terbabit dijangka sudah hampir siap sepenuhnya selain menyifatkan insiden itu boleh melengahkan tempoh pembangunannya.

“Projek ini juga dimaklumkan sudah hampir siap. Ia Hab petroleum dan gas yang terbesar di Malaysia dan di rantau Asia Tenggara ini.

“Pembangunannya juga melibatkan pelaburan melebihi RM50 bilion antara Petronas dengan Syarikat minyak terbesar dunia milik Arab Saudi bernama Aramco,” katanya.

Hassan berkata, kerosakan akibat insiden kebakaran terbabit berkemungkinan agak besar selain memerlukan proses memperbaiki semula yang drastik.

Artikel Berkaitan:

“Kerja-kerja pembaikan dan pembangunan semula tentulah memakan kos yang besar. Projek Rapid itu pula akan terlewat dari jadual sepatutnya ia siap dan memulakan operasinya.

“Projek pelaburan Rapid di Pengerang itu 50 peratus ekuiti sahamnya milik Petronas. Petronas dan ia amat berjasa kepada negara kita kerana telah menyumbangkan saham khasnya sebanyak RM30 bilion untuk menampung Belanjawan Negara tahun 2019,” katanya.

Menurutnya, sebagai seorang Ahli Parlimen yang hampir dengan kawasan berkenaan dirinya turut berdukacita memikirkan nasib pekerja di sana terutama dari Pasir Gudang.

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua cedera Rapid Pengerang meletup

Pekerja resort terkejut bangunan bergegar

Lebih 10 rumah rosak akibat letupan Rapid Pengerang