PRU15: Shamsul Iskandar perlu cipta sejarah di Bagan Datuk

Anwar (dua dari kiri) pada siri ceramah PH di Arena Selekoh, di Bagan Datuk pada Isnin.
Anwar (dua dari kiri) pada siri ceramah PH di Arena Selekoh, di Bagan Datuk pada Isnin.
A
A
A
BAGAN DATUK - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerusi Parlimen Bagan Datuk dimenangi pakatan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekali gus mencipta sejarah baharu.

Jelasnya, pengundi Bagan Datuk perlu memastikan calon Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menang menewaskan penyandang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Kita hantar panglima nak lawan Zahid. Kita kena menang Shamsul Iskandar di Bagan Datuk. Walapun dia tak terlalu tinggi tapi dulu dia pernah kalahkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.



"Di Bagan Datuk, kalau bahagian Melayu solid, India solid, Cina solid dan Orang Asli kita akan buat sejarah di Bagan Datuk.

"Sebab apa? Kerana nak Anwar jadi perdana menteri kita kena cukupkan kerusi. Bila kira-kira balik, tak cukup bilangan kerusi dan Bagan Datuk ini kita kena menang," katanya melaungkan slogan Reformasi di hadapan lebih 2,000 hadirin dalam siri ceramah PH di Arena Selekoh, di sini petang Isnin.

Walaupun hujan, lautan merah memenuhi pekarangan arena mendengar ucapan Anwar dan calon Shamsul Iskandar. Turut hadir, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang, S Wasanthee, calon DUN Rungkup, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir dan penyandang DUN Sekinchan, Ng Suee Lim.
Artikel Berkaitan:


Pada asalnya, siri ceramah itu dikatakan akan diadakan di Hutan Melintang tapi ditukar venue di Arena Selekoh yang lebih besar memuatkan kehadiran orang ramai.

Dalam ucapannya, Anwar juga mendakwa terdapat 15 orang UMNO termasuk Ahmad Zahid menyokong dirinya menjadi perdana menteri.

"Tahun sudah, kalau saya nak jadi perdana menteri... saya dah jadi perdana menteri kerana 15 orang UMNO termasuk Ahmad Zahid sokong saya sebagai calon perdana menteri. Hantar surat kepada Agong akuan bersumpah (SD), kami bersumpah kami sokong Anwar sebagai perdana menteri," ujarnya.