Rayuan saman Charles Santiago, pengundi Ampang diketahui esok

No Image Caption
A
A
A
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan esok untuk memutuskan dua isu dalam saman pemula penyandang kerusi Parlimen Klang Charles Santiago dan seorang pengundi Parlimen Pandan bagi menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Datuk Azizah Nawawi, yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata, mahkamah memerlukan masa untuk memutuskan isu terbabit.

Azizah, yang bersidang bersama-sama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun, mendengar rayuan Santiago serta Syed Iskandar Syed Jaafar secara berasingan pada prosiding dalam talian hari ini.

Santiago, yang mahu mahkamah menghidupkan semula saman pemula beliau terhadap Perdana Menteri sementara iaitu Datuk Seri Ismail Sabri, kerajaan Malaysia dan SPR, memohon beberapa perintah termasuk deklarasi bahawa permintaan Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen adalah terbatal dan tidak sah kerana tidak dilakukan atas nasihat kabinet.

Syed Iskandar pula memohon mahkamah memberi kebenaran kepada beliau untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pembubaran Parlimen dan langkah mengadakan pilihan raya umum.

Saman pemula Santiago dibatalkan pada 28 Oktober selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan.

Mahkamah Tinggi turut menolak permohonan Syed Iskandar untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman.

Pada prosiding hari ini, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Santiago, memaklumkan Mahkamah Rayuan bahawa permintaan Ismail Sabri pada 9 Oktober lepas kepada Yang-di Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen adalah dibuat secara tidak sah.

Beliau berkata, ini kerana tiada nasihat daripada kabinet dan Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen secara bebas.
Artikel Berkaitan:


"Nasihat kabinet adalah prasyarat bagi melaksanakan kuasa untuk membubarkan Parlimen di bawah Perkara 55 (2) Perlembagaan Persekutuan. Tanpa nasihat itu, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan Parlimen," katanya.

Peguam Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang mewakili Ismail Sabri, kerajaan Malaysia dan SPR, berhujah seorang Perdana Menteri berhak atas kehendaknya sendiri bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dalam apa jua keadaan.

Seorang lagi peguam iaitu Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun, yang turut mewakili Ismail Sabri, kerajaan Malaysia dan SPR, pula berhujah isu itu bersifat akademik di hadapan mahkamah kerana Yang di-Pertuan Agong sudah memutuskan untuk membubarkan Parlimen dan keputusan baginda adalah perkara yang "tidak boleh diadili.”

Sementara itu, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Syed Iskandar memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya mencabar tindakan eksekutif menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk meminta baginda membubarkan Parlimen.

Beliau berkata tindakan Perdana Menteri itu adalah pendekatan berperlembagaan dan tidak terlepas daripada semakan kehakiman.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, yang mewakili Pengerusi SPR, Ismail Sabri dan kerajaan, pula berhujah bahawa Syed Iskandar tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman kerana tidak menyatakan bagaimana beliau terjejas oleh pilihan raya itu.

Beliau berkata Syed Iskandar cuba mengubah keputusan membubarkan Parlimen serta menghentikan PRU15 daripada berlangsung dan Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul untuk menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran serta membenarkan bantahan Peguam Negara berhubung perkara itu.