PRU15 bukan medan permusuhan

Ahmad Marzuk (kanan) berlawan catur dengan Faris Iqbal (kiri) di Akademi Catur Ariez Azman di Chempaka, Kota Bharu pada Isnin.
Ahmad Marzuk (kanan) berlawan catur dengan Faris Iqbal (kiri) di Akademi Catur Ariez Azman di Chempaka, Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukanlah medan untuk rakyat bermusuhan-musuhan.

Itu peringatan daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkait insiden perang mulut dan maki hamun yang tercetus antara penyokong dua parti dalam satu program ceramah di Bagan Datuk, Perak pada petang Ahad.

Beliau mengingatkan penyokong dan pendukung mana-mana parti politik supaya menghormati proses demokrasi yang dijalankan di negara ini.

“Proses demokrasi PRU bertujuan memilih wakil rakyat dan bukanlah untuk bermusuh sehingga berlaku provokasi yang mencetuskan pergaduhan.

“Ini proses untuk memilih pemimpin. Selepas PRU kita akan berkawan seperti biasa dan berukhuwah,” katanya ketika ditemui selepas Program Ziarah Atlet Paralimpik Catur di Akademi Catur Ariez Azman di Chempaka, di sini, pada Isnin.

Atlet-atlet tersebut ialah Norazlin Juarih, 42, yang memenangi perak kategori individu dan emas kategori berpasukan bersama Faris Iqbal Ahmad, 20, di Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022 pada 6 November lalu.

Ahmad Marzuk berkata, keharmonian dalam kalangan masyarakat di negara ini perlu dipelihara lebih-lebih lagi bagi umat Islam yang seharusnya mempunyai sifat toleransi tinggi serta persaudaraan yang erat.

Ahmad Marzuk yang juga calon Pas bagi Parlimen Pengkalan Chepa itu bagaimanapun menyifatkan suasana kempen PRU15 setakat ini tenang berbanding PRU lalu.

Artikel Berkaitan:

“Tiada pergaduhan melampau dan keadaan positif ini harus kekal sehingga habis PRU.

“Masing-masing tetap perlu memperjuangkan ideologi. Tidak ada istilah perlawanan persahabatan, PRU hanya boleh menang satu sahaja, tak boleh dua,” katanya.