Teruskan warta tanah untuk Orang Asli di Perak

Saarani menandatangani plak simbolik merasmikan Balai Desa Semai Kampung Orang Asli Sungai Lah, Chenderiang, Tapah pada Ahad.
Saarani menandatangani plak simbolik merasmikan Balai Desa Semai Kampung Orang Asli Sungai Lah, Chenderiang, Tapah pada Ahad.
A
A
A

TAPAH - Kerajaan Perak akan meneruskan inisiatif untuk mewartakan baki 5,400 hektar tanah yang dijadikan kawasan penempatan Orang Asli sekiranya diberikan mandat untuk mentadbir negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sejumlah 13,500 hektar tanah telah diwartakan daripada hampir 19,000 hektar yang telah diluluskan beberapa tahun lalu.

"Semasa BN jadi kerajaan, saya Exco manakala Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, kita meluluskan hampir 19,000 hektar tanah untuk diwartakan.

"Apabila diluluskan ia perlu melalui banyak proses melibatkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), apabila ada kesahihan batu sempadan barulah ia diwartakan.

"Baki 5,400 hektar sedang dalam proses ukur dan kalau siap keseluruhan, ia akan diwartakan sebagai tanah rizab Orang Asli di Perak," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan jambatan baharu bernilai RM300,000 dan Balai Desa Semai Kampung Orang Asli Sungai Lah, Chenderiang di sini pada Ahad.

Beliau yang juga Pengerusi BN Perak berkata, inisiatif itu adalah memastikan masyarakat Orang Asli mempunyai hak untuk meneruskan kehidupan dengan terus menjalani aktiviti pertanian.

"Kita akan teruskan kerja baik ini kerana masyarakat Orang Asli adalah sebahagian rakyat negara dan selama ini mereka deposit tetap BN.

"BN akan terus buat kebajikan terhadap kaum ini termasuk bidang kebajikan dan kesihatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Saarani berkata, pembangunan masyarakat Orang Asli tidak pernah dipinggirkan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.

"Kita benar-benar berhasrat supaya masyarakat Orang Asli akhirnya menjadi masyarakat membangun dan pembangunan boleh dilakukan oleh mereka itu nanti.

"Ini dasar sejak BN memerintah yang mana saya meletakkan salah satu daripada inisiatif dalam pelan itu adalah menyantuni masyarakat Orang Asli," katanya.