Kemudahan R&R khas untuk pemandu e-hailing di Selangor

Amirudin menyampaikan inisiatif RiDE kepada pemandu e-hailing yang turut menerima caruman KWSP sebanyak RM50.
Amirudin menyampaikan inisiatif RiDE kepada pemandu e-hailing yang turut menerima caruman KWSP sebanyak RM50.
A
A
A

GOMBAK - Pemandu e-hailing dan penghantar makanan akan disediakan kemudahan Rehat Dan Rawat (R&R) khas dengan keperluan serba lengkap di Gombak.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif oleh kerajaan negeri itu bagi membantu kumpulan tersebut yang kadang kala berdepan kesukaran mencari tempat menunaikan solat dan kemudahan tandas.

Menurutnya, Gombak akan menjadi projek perintis bagi kemudahan tersebut dan akan diperluaskan ke kawasan lain mengikut keperluan.

"Kita telah kenal pasti tapak (bagi projek itu) tapi perlu tunggu selepas selesai pilihan raya kerana saya perlu uruskan bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

"Difahamkan kawasan tersebut adalah tanah lapang milik kerajaan. Jika tiada sebarang masalah, kita boleh bangunkan projek tersebut," katanya selepas merasmikan Karnival Penggerak Belia Selangor di Uptown Sri Gombak pada Ahad

Pada program tersebut, beliau menyampaikan Inisiatif Skim Roda Darul Ehsan (RiDE) kepada 200 penerima e-hailing yang layak.

Amirudin berkata, mengikut perancangan R&R tersebut itu bakal disediakan kemudahan gerai makanan dan kedai menjual keperluan lain.

"Jika boleh kita nak adakan juga trak-trak yang boleh menyediakan perkhidmatan membaiki motosikal.

Artikel Berkaitan:

"Jika kemudahan ini berjaya, kerajaan negeri akan mempertimbangkan memperluaskannya ke lokasi lain yang mempunyai jumlah pemandu e-hailing yang ramai seperti Petaling Jaya dan Subang," katanya.

Pada perkembangan sama, beliau memaklumkan kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi menyampaikan bantuan kewangan RM500 sekali bayar kepada 3,000 pemandu e-hailing atau penghantar makanan di bawah RiDE.

"Ini adalah penyampaian pertama pemandu e-hailing yang terpilih daripada keseluruhan 8,143 pemohon RiDE.

"Daripada jumlah tersebut, kerajaan negeri kenal pasti 3,000 penerima layak untuk dapat insentif tersebut.

"Insya-ALLAH program ini boleh diteruskan pada masa hadapan. Jika ada peruntukan lebih, lebih ramai penerima akan menerima manfaat tersebut pada tahun depan," katanya.