Penduduk Kampung Tersang resah lagi

Wan Rohaya melihat keadaan rumahnya yang ditenggelami air akibat hujan lebat pada Jumaat.
Wan Rohaya melihat keadaan rumahnya yang ditenggelami air akibat hujan lebat pada Jumaat.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Penduduk Tersang kini resah lagi apabila mereka terpaksa mengharung banjir walaupun dalam cuaca panas terik.

Mereka mendakwa, air semakin deras di kawasan rumah sejak pembinaan laluan air pada benteng di bawah projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.

Lebih membimbangkan air semakin naik di kawasan rumah sehingga lebih dua meter ketika tiada hujan sejak awal pagi Ahad.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ada penduduk yang sudah berpindah pada Sabtu pulang sementara ke rumah bagi melihat keadaan kediaman mereka.

Beberapa penduduk pula dilihat mengambil barangan keperluan tambahan untuk dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS), Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh apabila rumah mereka semakin dinaiki air.

Suri rumah, Wan Rohaya Abdullah, 31, ketika ditemui pemberita mengakui bimbang berikutan aliran air deras ke arah rumahnya.

Wan Rohaya berkata, sebelum pembinaan benteng lebih dua tahun lalu, memang berlaku banjir di kawasan kediaman mereka tetapi tiada air deras dan tidak melimpah ke jalan raya.

"Banjir Februari tahun lepas turut mengakibatkan bahagian depan rumah saya runtuh dan terpaksa dibina semula," katanya.

Artikel Berkaitan:

Wan Rohaya juga bimbang perkara sama berlaku kerana air mula bergenang di atas jalan kira- kira jam 12 tengah hari Sabtu ditambah keadaan air yang semakin naik.

Ibu kepada dua anak berusia tiga dan sepuluh tahun itu berharap projek PLSB dapat disiapkan segera bagi mengelakkan masalah yang sama terutama musim tengkujuh.

Sementara itu, jiran Wan Rohaya, Marlina Ab Rahman, 42, berkata, penduduk kampung kini masih perit dengan pengalaman Februari lalu.

Marlina memberitahu, setiap kali banjir dia dan suami, Osman Kamar, 45, akan membuat persiapan untuk menguruskan anak penghidap autisme yang sangat aktif berusia 20 tahun.

"Kehidupan kami bertambah sukar jika keadaan berterusan setiap tahun dan masih tiada penyelesaian ke atas projek berkenaan," katanya.

Ibu kepada empat anak berusia empat hingga 20 tahun itu juga mendakwa, sebelum pembinaan PLSB, penduduk membina titi sementara atau menggunakan perahu persendirian untuk ke jalan raya yang hanya beberapa meter dari rumah.

"Bagaimanapun kini kami terpaksa berpindah kerana banjir di kawasan rumah mencecah lebih dua meter selain air deras yang membahayakan kami," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan berusaha memastikan pembinaan benteng melalui projek PLSB berjalan lancar tanpa memberi kesan negatif pada mana-mana pihak.

Beberapa cadangan untuk mengurangkan impak banjir juga sedang dipertimbangkan dan keputusan melalui kementerian berkaitan akan diumum dalam masa terdekat.