Cuaca panas: Penggunaan air di Johor meningkat 50 juta liter sehari

Anuar ( kanan) beramah mesra dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri SAJ Ranhill di Persada pada Khamis.
Anuar ( kanan) beramah mesra dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri SAJ Ranhill di Persada pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Musim panas yang melanda ketika ini menyebabkan penggunaan air Johor meningkat sebanyak 50 juta liter sehari (MLB) sejak bulan lalu.

Pengarah Operasi Ranhill SAJ, Anuar Abd Ghani berkata, peningkatan tersebut dikesan berlaku selepas Aidilfitri lalu, dengan daerah Johor Bahru merekodkan jumlah tertinggi penggunaan air.

"Menerusi semakan yang dilakukan, penggunaan air meningkat daripada 1,000 MLB kepada 1,050 MLB sehari di negeri ini pada musim panas.

"Secara purata ekalan air yang dibekalkan di negeri ini sebanyak 2,200 MLB sebulan. Daerah Johor Bahru menggunakan hampir separuh bekalan air tersebut," katanya pada sidang akhbar Majlis Rumah Terbuka Ranhill SAJ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada) pada Khamis.

Pada 5 Mei lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dilaporkan menyenaraikan lapan negeri yang mudah dipengaruhi fenomena El-Nino yang menyebabkan cuaca kering dan panas melampau berdasarkan pengalaman kejadian El-Nino tahun 2015-2016.

Negeri terbabit adalah Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.

Menurut Anuar, situasi bekalan air di negeri ini masih terkawal dan bertahan dengan 14 empangan di seluruh negeri dalam keadaan normal dan beroperasi seperti biasa.

"Malah tiga empangan iaitu Juaseh, Gunung Ledang dan Linggiu merekodkan paras air lebih daripada normal dengan berlaku limpahan air berikutan hujan beberapa hari lalu.

Anuar Abd Ghani
Anuar Abd Ghani

"Bagaimanapun SAJ Ranhill tetap menyediakan pelan mitigasi sekiranya berlaku keadaan di luar jangka termasuk hujan tidak turun dan cuaca panas melampau," katanya.

Tambahnya lagi, memandangkan Monsun Barat Daya hanya akan berakhir September ini dan apa jua kemungkinan boleh berlaku.

"Jika keadaan semakin buruk mungkin pelaksanakan bekalan air berjadual perlu dibuat, SAJ perlu mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Bekalan Air Negara (SPAN) terlebih dahulu.

"Perlu diingat bekalan air berjadual atau catuan bekalan air bukan dilaksanakan ketika paras empangan sudah turun, namun ia ada penggiraan khas termasuk anggaran sama ada bekalan air akan terjejas dalam tempoh sebulan, maka ia perlu dilaksanakan bagi memastikan bekalan air tidak terjejas," katanya.