Banjir bertambah teruk di Johor

Anggota bomba memindahkan penduduk yang terjejas banjir di Kampung Baru Sengkang Kulai. Keadaan banjir di Sengkang, Kulai.- Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Anggota bomba memindahkan penduduk yang terjejas banjir di Kampung Baru Sengkang Kulai. Keadaan banjir di Sengkang, Kulai.- Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keadaan banjir di negeri ini bertambah teruk apabila seramai 276 mangsa banjir daripada 63 keluarga ditempatkan di enam PPS melibatkan daerah Kulai, Kluang dan Segamat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan pada jam 8 pagi Ahad, memaklumkan daerah Kulai merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi seramai 194 mangsa daripada 40 keluarga.

Menurutnya, seramai 139 mangsa daripada 29 keluarga yang merupakan penduduk Kampung Baru Sengkang, berlindung di PPS di Dewan Serbaguna Kampung Baru Sengkang yang dibuka pada jam 7.30 malam pada Sabtu.

Manakala seramai 55 mangsa daripada 11 keluarga yang merupakan penduduk Kampung Murni Jaya ditempatkan di Dewan Raya Kampung Murni Jaya yang dibuka pada jam 9.30 malam pada Sabtu.

Bagi daerah Kluang pula, sebuah PPS dibuka di Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof pada jam 11.30 malam pada Sabtu, menempatkan 25 mangsa daripada lima buah keluarga.

"Kejadian banjir berlaku disebabkan oleh limpahan air sungai pada Sabtu yang menyebabkan beberapa buah rumah dinaiki air di Kampung Baru Sengkang, Kampung Murni Jaya dan Kampung Ithnin Maarof," katanya.

Sementara di daerah Segamat, jumlah mangsa banjir yang direkodkan kekal seramai 57 mangsa daripada 27 keluarga membabitkan tiga buah PPS yang dibuka sejak 2 November lalu.

"Daripada jumlah itu, seramai 53 orang melibatkan 12 keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 ditempatkan di PPS di Balai Raya Kampung Batu Badak dan Dewan Komuniti Tasek.

Artikel Berkaitan:

"Sementara empat orang daripada sebuah keluarga dari Kampung Kuala Paya ditempatkan di PPS di Balai Raya Kampung Kuala Paya," katanya.

Dalam pada itu paras air di Sungai Johor membabitkan lembangan Sungai Sayong di Kampung Sungai Siam, Kulai, kini dilaporkan berada dalam paras bahaya pagi ini.

Sungai berkenaan mencatatkan paras 20.71 meter berbanding paras normal, 19 meter.

Dua lagi sungai iaitu Sungai Batu Pahat membabitkan lembangan Sungai Lenik di Ladang Chaah serta Sungai Skudai di Kampung Separa, kini berada di paras amaran.

Sungai Lenik mencatatkan paras semasa 5.70 meter berbanding paras normal, 4.10 meter, manakala Sungai Skudai pula mencatat paras 17.49 meter berbanding, 16 meter paras normalnya.