'Ramai orang bercita-cita nak jadi PM' - Tun M

Dr Mahathir (dua dari kiri) bergambar bersama sebahagian anak muda yang hadir pada program santai petang bersama Tun Dr Mahathir dan Ulya di Taman Bersatu pada Sabtu.
Dr Mahathir (dua dari kiri) bergambar bersama sebahagian anak muda yang hadir pada program santai petang bersama Tun Dr Mahathir dan Ulya di Taman Bersatu pada Sabtu.
A
A
A

KUALA KEDAH - Sesiapa sahaja boleh menjadi Perdana Menteri sekiranya menang bertanding kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), termasuk Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sama ada seseorang itu layak diangkat sebagai Perdana Menteri atau sebaliknya, bergantung kepada kemenangan individu tersebut di kerusi yang ditandinginya.

Menurutnya, jawatan berkenaan sememangnya menjadi cita-cita ramai pemimpin sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang.

“Layak atau tidak (Khairy) tak tahulah... ramai orang yang layak tetapi sama ada dia menang atau tidak belum tentu. Bila sudah menang, cakaplah,” katanya pada sidang akhbar selepas program santai petang bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan calon GTA bagi Parlimen Kuala Kedah, Ulya Husamudin di Taman Bersatu pada Sabtu.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan Khairy yang juga calon BN Parlimen Sungai Buloh, berhasrat untuk memimpin UMNO, seterusnya bercita-cita menjadi Perdana Menteri satu hari nanti.

Dalam pada itu, Dr Mahathir tegaskan, dirinya yang sudah berusia pun dilantik menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali, menunjukkan sesiapa sahaja boleh memimpin negara apabila mendapat sokongan sepenuhnya.

“Ramai orang bercita-cita (jadi PM) sekarang ini, apa kalut, Dr Mahathir boleh jadi PM, sesiapa pun boleh, dua kali pulak tu,” ujarnya.

Mengulas mengenai pemimpin muda Pejuang yang wajar diketengahkan sebagai Perdana Menteri, beliau berkata, parti itu memiliki ramai calon muda yang berkelayakan.

Artikel Berkaitan:

“Kita tak letak nama, kita nak tunggu menang dahulu. Saya harap pengundi bagi kemenangan kepada GTA, apabila kami dapat lebih 112 kerusi Parlimen, ketika itu boleh cadang siapa layak jadi PM.

“Bila menang kita boleh cakap, belum menang tak usahlah cakap lagi,” katanya.


Isytihar harta sepanjang masa, bukan PRU saja

Sementara itu dalam isu berlainan, Dr Mahathir berkata, pengisytiharan harta wajar dilakukan sepanjang masa dan bukannya hanya pada musim pilihan raya.

Menurutnya, gabungan itu menyokong sekiranya pemimpin parti mahupun calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengisytiharkan aset masing-masing, namun ia bukan terhad dalam tempoh tertentu.

“Isytihar harta waktu dekat PRU15, kenapa waktu lain mereka tak buat. Kita (GTA) kalau nak buat (isytihar harta) kita buat waktu mana pun tak kira lah,” katanya.

Dr Mahathir mempersoalkan tindakan parti tertentu yang mengisytihar harta hanya ketika mahu bertanding pilihan raya, sedangkan ia wajar dilakukan pada setiap masa.

“Saya setuju kita isytihar harta atau aset tetapi bukan dibuat dekat-dekat PRU. Kita boleh cakap dalam Dewan Rakyat. Tidak semestinya untuk pilihan raya semata-mata, tapi sepanjang masa,” katanya lagi.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh sahaja mencadangkan agar semua Ahli Parlimen membuat pengisytiharan harta dan aset masing-masing tanpa menunggu ia dilakukan menjelang PRU15.

“Sewaktu PRU15 macam-macam beliau janjikan nak buat, kenapa dulu dia tak cadang. Beliau sudah lama jadi wakil rakyat, masa dalam Dewan Rakyat, kata lah kami nak isytihar harta tetapi tak buat pun. Dekat PRU15 baru nak buat,” katanya lagi.