[VIDEO] 23 lokasi di Bukit Mertajam dilanda banjir kilat

A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) True Light, Perkampungan Juru bagi memindahkan kesemua mangsa selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, sehinga jam 9 malam Jumaat, hanya sebuah PPS dibuka.

"Maklumat yang diterima mengatakan, pihak berkuasa sedang memindahkan mangsa-mangsa banjir ke PPS tersebut.

"Jumlah mangsa bagaimanapun belum diperoleh," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beberapa kawasan di Bukit Mertajam mengalami banjir kilat selepas hujan lebat melanda Pulau Pinang sejak jam 5 petang Jumaat.

Lokasi yang dinaiki air adalah Taman Tenang Berapit, Taman Seri Janggus Machang Bubok, Desa Damai, Kampung Baru Alma, Taman Impian, Taman Sukun dan Taman Mangga.

Selain itu, Taman Sentul, Kampung Dock, Taman Macang Bubok, Taman Pinggiran Alma, Taman Sejahtera, Taman Selamat dan Taman Kota Permai turut dinaiki air.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, Taman Permai Jaya, Taman Pekaka, Taman Pinang, Jalan Tembikai, Taman Mutiara, Taman Jasa Intan, Taman Saujana Indah dan Taman Jaya juga dilaporkan mengalami banjir kilat.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga jam 7.15 malam tadi (Jumaat), semua lokasi tersebut masih mengalami banjir kilat. Dilaporkan hujan melebihi 60 milimeter (mm) sejam yang mana, ia dikategorikan sebagai sangat lebat.

"Sementara itu, di Machang Bubok, dilaporkan hujan lebat iaitu 102mm/jam dan sehingga 5.30 petang tadi, hujan masih lebat dengan bacaan 74mm/jam," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata, pihak berkuasa masih memantau keadaan banjir dan sekiranya hujan masih lebat sehingga jam 9 malam, tindakan susulan akan diambil.

Tambah beliau, sehingga kini, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sudah menerima 11 aduan pokok tumbang.

"Pekerja MBPP sedang giat menjalankan pemotongan pokok tumbang yang menghalang jalan raya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, pihaknya setakat ini menerima aduan berhubung banjir kilat di Seberang Perai Selatan (SPS) dan Seberang Perai Tengah (SPT).

Menurutnya, bagi SPS, pihaknya menerima aduan banjir kilat berlaku di Ladang Valdor serta Jawi.

"Sehingga jam 8.30 malam tadi, air naik kira-kira hampir 20 sentimeter namun tiada PPS yang dibuka setakat ini.

"Sebaik aduan diterima, kita terus membuat pemantauan di kawasan yang dilanda banjir kilat bagi memastikan paras air tidak berbahaya. Kita sentiasa dalam keadaan bersiap sedia jika keadaan semakin teruk," katanya.

Dalam pada itu, calon kerusi Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menerusi siaran langsung Facebooknya berkata, hujan lebat melebihi 110mm yang direkodkan menyebabkan kawasan di sekitar Bukit Mertajam dinaiki air dengan cepat.

Beliau turut memaklumkan bahawa semua siri kempennya terpaksa dibatalkan susulan kejadian tersebut.

"Saya telah minta pasukan saya bekerjasama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Parlimen Bukit Mertajam untuk turun memantau situasi banjir.

"Kami akan turun beri bantuan segera kepada mereka yang terkesan dengan banjir ketika ini," katanya.