Hospital Bukit Mertajam terima mesin CT Scan tahun depan

Steven Sim (tiga dari kanan) menunjukkan surat kelulusan perolehan mesin CT Scan untuk HBM.
Steven Sim (tiga dari kanan) menunjukkan surat kelulusan perolehan mesin CT Scan untuk HBM.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Setelah hampir 10 tahun menunggu, Hospital Bukit Mertajam (HBM) akhirnya bakal menerima sebuah Mesin Pengimbas Tomografi Berkomputer (CT Scan) pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata, mesin berharga RM5.5 juta itu akan ditempatkan di HBM bagi memudahkan pengurusan kes serius melibatkan pesakit di hospital berkenaan.

Menurutnya, HBM yang berusia 130 tahun itu tidak pernah mempunyai mesin CT Scan sebelum ini yang mana, pesakit yang perlu menjalani pemeriksaan lanjut perlu dirujuk ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Menteri Kesihatan dan Kementerian Kesihatan Malaysia meluluskan satu peruntukan RM5.5 juta untuk pembelian perolehan sebuah mesin CT Scan. Peruntukkan ini telah dipohon sejak tahun 2014 oleh HBM, namun ada beberapa kekangan untuk diluluskan.

"Pada 2021, bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pernah datang ke sini dan menyatakan persetujuan untuk meluluskan sebuah mesin CT Scan di HBM.

"Jadi pada awal tahun ini, HBM memberitahu sudah lama pohon dan sudah dapat kelulusan secara lisan daripada kepimpinan kerajaan pusat," katanya selepas meninjau HBM di sini pada Isnin.

Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, hanya satu daripada empat hospital di kawasan Seberang Perai mempunyai mesin CT Scan iaitu HSJ.

"Pada awal tahun ini, hospital meminta untuk mempercepatkan kelulusan kerana empat hospital di kawasan Seberang Perai iaitu HSJ, HBM, Hospital Kepala Batas dan Hospital Sungai Bakap, hanya HSJ mempunyai mesin CT Scan.

"Setiap tahun, kira-kira 6,000 kes dari HBM dirujuk ke HSJ untuk penggunaan mesin CT Scan.

"Oleh itu, memang ada keperluan untuk mempunyai sebuah mesin CT Scan. Kerja-kerja pentadbiran sudah bermula, kita jangka tender akan dibuat dalam tahun ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah HBM, Dr Goh Hin Kwang berkata, mesin CT Scan amat diperlukan terutamanya bagi kes kecemasan antaranya kemalangan, pendarahan otak dan angin ahmar.

Menurutnya, proses perolehan sudah bermula pada 21 Jun lalu, pihak hospital telah dipanggil untuk jawatankuasa penyediaan spesifikasi dan dijangka mesin berkenaan akan diperoleh tahun hadapan.

"Mesin ini amat diperlukan kerana ketika ini, kes-kes kecemasan akan dirujuk ke HSJ.
Minimum perjalanan mengambil masa 20 minit, lepas mengimbas, kita kena hantar pesakit ke HPP.

"Ini akan melambatkan proses pemeriksaan. Jika kita dapat jalankan proses pengimbasan di sini, ia dapat mengurangkan tempoh menunggu pesakit.

"Selepas diagnos, kita boleh terus rujuk pesakit ke HPP untuk rawatan lanjut. Bagi pesakit angin ahmar, jika kita dapat menjalankan pengimbasan di sini, kita terus boleh beri ubat cair darah, sekali gus dapat menyelamatkan pesakit," katanya.