Kesatuan sekerja lancar mogok besar-besaran di Perancis

Kesatuan pekerja melancarkan bagi menuntut kenaikan gaji atau menambah pengambilan pekerja. - Foto Epa
Kesatuan pekerja melancarkan bagi menuntut kenaikan gaji atau menambah pengambilan pekerja. - Foto Epa
A
A
A

PARIS - Kesatuan-kesatuan pekerja di Perancis melancarkan mogok di jalan-jalan di Paris dan berpuluh-puluh bandar lain di negara itu pada Khamis bagi menuntut kenaikan gaji dan keadaan kerja yang lebih baik, selain mengecam peningkatan kos sara hidup dan menuntut bantuan kerajaan susulan kenaikan harga.

Confederation Generale du Travail (CGT) berkata, kira-kira 150 hingga 200 tunjuk perasaan berlaku pada hari berkenaan di seluruh Perancis, menurut Anadolu Agency.

CGT menyokong mogok sehari pelbagai sektor itu yang mengancam untuk melumpuhkan rangkaian pengangkutan awam ibu kota.

Menurut CGT, 4,000 orang mengambil bahagian dalam demonstrasi di Paris yang bermula pada 2 petang waktu tempatan di Place de la Republique dan berakhir di Place de la Bastille.

Polis dan Kementerian Dalam Negeri menganggarkan 2,000 hingga 4,000 penunjuk perasaan di Paris, namun tiada rusuhan atau pergelutan berlaku semasa protes itu.

Walaupun protes turut berlaku di bandar-bandar di seluruh negara termasuk Lyon atau Montpellier, gangguan tertumpu di Paris dengan pekerja rangkaian pengangkutan awam Regie Autonome des Transports Parisiens (RATP) menyokong mogok itu apabila mengisytiharkan Jeudi Noir (Khamis Hitam) bagi perkhidmatan.

Sekurang-kurangnya separuh laluan kereta api bawah tanah tidak beroperasi selain bas-bas pinggir bandar, lapornya.

Artikel Berkaitan:

Lima laluan metro ditutup sepenuhnya dan tujuh lagi hanya beroperasi pada waktu puncak. Mogok Khamis berlaku apabila penumpang semakin marah terhadap sistem pengangkutan awam Paris kerana perkhidmatannya masih belum pulih sepenuhnya sejak wabak Covid-19 bermula walaupun bilangan pengguna sudah kembali ke tahap prapandemik.

Kesatuan telah melancarkan mogok merentasi beberapa sektor dalam beberapa minggu kebelakangan ini menuntut kenaikan gaji atau menambah pengambilan pekerja apabila kos tenaga yang semakin meningkat memberi kesan kepada inflasi secara meluas.

4,000 orang mengambil bahagian dalam demonstrasi di Paris. -Foto EPA
4,000 orang mengambil bahagian dalam demonstrasi di Paris. -Foto EPA

Menteri Akaun Awam, Gabriel Attal kesal kerana ramai rakyat Perancis tidak dapat bekerja, kesukaran pelajar pergi ke sekolah akibat Reseau Express Regional (Rangkaian Ekspres Serantau), kereta api komuter hibrid dan sistem transit pantas yang berkhidmat di Paris dan di pinggir bandar, tidak beroperasi.

Ini adalah mobilisasi ketiga kesatuan sekerja berturut-turut, selepas dua lagi bantahan di seluruh negara pada 18 Oktober dan 27 Oktober. Bantahan pada 18 Oktober melibatkan 107,000 penunjuk perasaan, menurut Kementerian Dalam Negeri, namun CGT berkata, terdapat sekurang-kurangnya 300,000 penunjuk perasaan.

Menurut Agensi Anadolu, rungutan dan tuntutan mogok termasuklah kenaikan gaji minimum, penilaian semula gaji supaya sejajar dengan inflasi dan penilaian semula skala gaji untuk pekerja sektor awam.

CGT juga marah kerana kerajaan mengunakan kuasa darurat ketika mogok awal di loji penapisan minyak pada Oktober yang menyebabkan kekurangan petrol dan diesel secara meluas di stesen pengisian di seluruh negara.

Pemimpin kesatuan juga berharap dapat meningkatkan tekanan ke atas Presiden Emmanuel Macron ketika beliau bersedia untuk memulihkan semula skim pencen kontroversi yang akan menaikkan umur persaraan rasmi daripada 62 kepada 64 bahkan kepada 65.

Harga pengguna Perancis pada Oktober meningkat pada kadar terpantas sejak 1985, didorong oleh kenaikan harga tenaga, makanan dan barangan perkilangan, menurut data rasmi

Secara khususnya harga makanan yang meningkat hampir 12 peratus menjejaskan perbelanjaan isi rumah.

Sementara itu, harga tenaga meningkat hampir 20 peratus walaupun campur tangan kerajaan untuk mengehadkan bil bagi pengguna yang dapat mengekalkan inflasi keseluruhan di bawah paras yang dilihat di negara-negara jiran Kesatuan Eropah mereka. - Bernama