PRU15: Terima ugutan, kempen jalan seperti biasa -Mazlan

Mazlan menunjukkan paparan mesej yang diterima berbaur ugutan dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Mazlan menunjukkan paparan mesej yang diterima berbaur ugutan dalam sidang akhbar pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Naib Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Mazlan Abdul Rahman enggan melayan ugutan yang diterima dan akan meneruskan gerak kerja kempen seperti biasa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Beliau berkata, ancaman yang mahu memburukkan dan menjatuhkan reputasinya sebagai calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta itu tidak sedikit pun melemahkan semangat.

"Saya dah berjuang dalam politik hampir 28 tahun dan telah melalui pelbagai liku-liku fitnah.

"Dengan ancaman ini, tidak mungkinlah saya akan tarik diri, saya akan teruskan perjuangan demi rakyat," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, mesej ugutan itu diterima daripada nombor telefon tidak dikenali sejak Rabu lepas yang memintanya membayar RM300,000 sekiranya tidak mahu isu peribadi dibongkar dan diketahui umum.

Buat masa ini, pihaknya tidak mengesyaki sesiapa yang terlibat dan motif sebenar ugutan berkenaan dilakukan.

"Nak suruh saya bayar RM300,000, manalah saya ada duit sebanyak itu.

"Sepanjang kempen, saya tidak pernah pun menyentuh peribadi sesiapa termasuk calon-calon yang bertanding.

Artikel Berkaitan:

"Malah hubungan dengan parti lawan juga baik dan kami saling berpelukan sekiranya bertembung ketika berkempen," katanya.

Laporan polis berkaitan perkara itu telah dibuat di Balai Polis Tambun sekitar jam 12.45 tengah hari pada Khamis.

Dalam kenyataan Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri sebelum ini memaklumkan, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

Pada PRU15 ini, kerusi DUN Hulu Kinta menyaksikan pertembungan empat penjuru.

Selain Mazlan yang bertanding mewakili BN, kerusi itu turut ditandingi penyandang, Muhamad Arafat Varisai Mahamad (Pakatan Harapan), Puteri Holijah Muhamad Rali (Perikatan Nasional) dan calon Bebas, S Murugiah.