‘Saya bantu apa yang boleh’

Tengku Abu Bakar (empat dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Hausboom, Azri Zahier Azmi memegang jersi Malaysia simbolik selaku penaja pasukan kebangsaan pada LTdL 2022.
Tengku Abu Bakar (empat dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Hausboom, Azri Zahier Azmi memegang jersi Malaysia simbolik selaku penaja pasukan kebangsaan pada LTdL 2022.
A
A
A

SIAPA sangka sebuah kelab berbasikal sosial tempatan yang dikenali sebagai Heavy menjadi 'tulang belakang' di sebalik penampilan pasukan kebangsaan Malaysia pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 baru-baru ini.

Biarpun masih dianggap 'mentah' dalam dunia perlumbaan berbasikal, Heavy mendapat kepercayaan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk tampil sebagai penaja utama pasukan kebangsaan Malaysia.

Penaung Heavy yang juga Pengerusi Fomema Sdn Bhd, Tengku Abu Bakar Ahmad Tengku Abdullah nyata teruja apabila diberikan peluang PKBM selaku badan induk sukan berbasikal negara menaja pasukan kebangsaan Malaysia pada LTdL kali ini.

“Semuanya bermula apabila saya berpeluang berbasikal bersama (pelumba Malaysia) Sofian (Nabil Omar Bakri). Dia (Sofian) beritahu pasukan Malaysia memerlukan penajaan (bagi menghadapi perlumbaan LTdL 2022).

“(Heavy) sebagai sebuah pasukan berbasikal sosial, saya ambil peluang taja pasukan Malaysia pada LTdL 2022 dan dalam masa sama, saya mempunyai sasaran memberi peluang kepada pelumba muda seperti Khee Zie Yie beraksi di pentas seperti ini.

“Bagi saya, LTdL adalah platform yang bagus buat pelumba-pelumba muda khususnya untuk mempamerkan kemampuan dan skil mereka beraksi di peringkat tertinggi,” katanya yang juga kerabat Pahang ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Sepanjang lapan peringkat LTdL 2022, Zie Yie dan rakan sepasukannya, Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil berjaya mempamerkan prestasi membanggakan apabila mereka bersilih ganti tampil selaku pelumba terbaik Asia dan tempatan.

“Alhamdulillah... saya gembira dan berpuas hati melihatkan prestasi kesemua pelumba Malaysia. Ia satu petanda yang baik buat pasukan Malaysia kerana kita dapat lihat pelumba seperti Izzat dan Zie Yie berjaya memberikan cabaran kepada pasukan ternama.

Artikel Berkaitan:

“Jadi ini juga membuatkan saya bersemangat membantu pasukan Malaysia. Jika dapat bantuan daripada syarikat-syarikat swasta lain, Insya-ALLAH saya akan bantu selagi boleh. Apa yang boleh saya bantu, saya akan cuba bantu, ini pasukan Malaysia,” ujarnya.

Koordinator pasukan kebangsaan Malaysia LTdL 2022, Hafzi Mohamed pula menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tengku Abu Bakar atas keprihatinannya serta kesediaan Heavy menjadi penaja utama sehingga menyuntik semangat kepada barisan pelumba negara.

“Menerusi syarikat Fomema Sdn Bhd, Tengku Abu Bakar banyak membantu pasukan Malaysia, bermula daripada kem latihan sebelum menghadapi LTdL kali ini. Malah, Tengku Abu Bakar turut menyediakan elaun kepada para pelumba negara sepanjang LTdL berlangsung.

“Sifat keprihatinan Tengku Abu Bakar dalam menjaga kebajikan semua pelumba amat saya hargai. Ia secara tidak langsung menjadi pemangkin semangat buat mereka. Terima kasih kepada Tengku Abu Bakar atas segala bantuan dan terima kasih juga kepada penaja minuman pasukan Malaysia, Hausboom,” jelasnya.