PRU15: MTUC gesa kerajaan isytihar 19 November cuti umum

SPR menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU15. - Foto Bernama
SPR menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU15. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan sekerja mencadangkan supaya kerajaan mengisytiharkan hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November sebagai cuti umum.

Kerajaan juga disaran memberi cuti tambahan sebagai ganti memandangkan hari pengundian yang jatuh pada Sabtu.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata kebanyakan syarikat swasta beroperasi pada Sabtu dan hanya memberi pelepasan sementara yang menyebabkan ketidakselesaan kepada ramai pekerja.

“Pengumuman cuti umum sehari sebelum pengundian tidak memberi apa-apa faedah bagi pekerja swasta di sebabkan pada hari pengundian adalah hari bekerja biasa.

“Walaupun syarikat memberi pelepasan kepada pekerja untuk membuang undi tetapi waktu pelepasan adalah sangat singkat dan menyebabkan tekanan kepada pekerja untuk kembali semula ke tempat bekerja,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas beliau, golongan pekerja berjumlah melebihi 16 juta itu adalah penentu kepada parti politik yang akan membentuk kerajaan selepas 19 November ini.

“Oleh yang demikian, kerajaan perlu memberi peluang kepada pekerja untuk memilih kerajaan dalam keadaan selesa,” ujar Kamarul Baharin.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Letrik (KPPPL), Md Zaimi Muhamad Yusof juga berpandangan sedemikian.

Artikel Berkaitan:

“Sudah semestinya pekerja yang berdaftar sebagai pemilih wajib diberi tempoh yang munasabah untuk membuang undi pada hari pengundian.

“Oleh kerana hari pengundian jatuh pada 19 November, cuti tambahan harus dipertimbangkan kerana majoriti rakyat Malaysia tidak mengundi di lokasi kerja mereka,” tambahnya.

Md Zaimi juga percaya bahawa kerajaan dapat mengisytiharkan tarikh tersebut sebagai hari kelepasan am kerana pekerja mempunyai kewajipan sivik pada hari pengundian.