KSM akan pinda proses pengiktirafan kesatuan sekerja

Sivakumar - Foto Bernama
Sivakumar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan membuat beberapa pindaan bagi proses pengiktirafan terhadap kesatuan sekerja untuk memberi ruang kepada pekerja memperjuangkan hak mereka dan mendapat keadilan.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, perkara itu akan diberi perhatian oleh kerajaan memandangkan ada dalam kalangan majikan enggan mengiktiraf kesatuan sekerja di tempat mereka.

"Saya difahamkan terdapat kes-kes yang majikan enggan mengiktiraf kesatuan sekerja yang diterajui oleh pekerja dan ini merumitkan lagi usaha pekerja dalam memperjuangkan hak mereka,” katanya ketika berucap pada Fiesta di Ambang Malam Hari Pekerja anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di sini hari ini.

Pada masa yang sama, katanya, kerajaan juga sedang mengkaji beberapa isu lain termasuk gaji kehidupan wajar, pencen pekerja swasta, jaminan pekerjaan, isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta isu perlindungan pekerja asing.

Sivakumar berkata, kerajaan akan berusaha menyelesaikan isu berkenaan sebaiknya sekali gus memastikan semua pekerja di negara ini mendapat perlindungan dan keistimewaan yang setimpal dengan sumbangan mereka.

"Isu perlindungan pekerja asing juga memerlukan perhatian dan tindakan lebih lanjut. Kita perlu memastikan bahawa semua pekerja asing di negara ini dilindungi oleh undang-undang dan diberikan hak yang sama seperti pekerja tempatan,” katanya.

Beliau berkata selain itu, kerajaan akan bekerjasama dengan majikan yang perlu memastikan golongan pekerja berpendidikan rendah diberikan peluang untuk meningkatkan taraf pendidikan serta kemahiran kerja melalui latihan dan kursus.

Langkah itu bagi membantu meningkatkan kemahiran pekerja berkenaan selain memberi mereka peluang mengisi jawatan yang lebih baik serta gaji yang lebih tinggi.

Pada masa sama, beliau turut menyeru semua majikan di negara ini agar menghormati hak pekerja dan memastikan mereka dapat bekerja dalam persekitaran yang selamat dan kondusif.

"Kerajaan akan terus memperkenalkan dasar-dasar dan perubahan undang-undang yang memastikan keselamatan, kesejahteraan dan hak-hak pekerja dari semasa ke semasa,” katanya. - Bernama