Kematian bekas menantu Zahid: Denda pakar pergigian kekal

Allahyarham Syed Alman Zain Syed Alwi
Allahyarham Syed Alman Zain Syed Alwi
A
A
A

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis mengekalkan hukuman denda RM220,000 terhadap Imperial Dental Specialist Centre Sdn Bhd berhubung kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi yang ketika itu menantu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, enam tahun lalu.

Hakim tiga panel diketuai Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah, Datuk Azman Abdullah sebulat suara menolak rayuan pakar pergigian itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2020.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Hanipah berkata, mahkamah mendapati rayuan yang dikemukakan oleh Imperial Dental Specialist Centre Sdn Bhd selaku perayu adalah tidak bermerit.

“Kami berpendapatan Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf berhubung dapatannya ke atas empat rayuan tersebut, maka sabitan berkenaan adalah selamat.

“Berdasarkan prinsip penghukuman juga mendapati, denda yang dikenakan oleh hakim adalah tidak melampau, oleh itu keputusan serta hukuman mahkamah tinggi dikekalkan, rayuan perayu ditolak,” katanya.

Kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir manakala peguam, P Sreekant dan Raja Eileen Soraya Raja Aman mewakili pusat pakar pergigian itu.

Pada 14 Disember 2018, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhi hukuman denda RM320,000 terhadap perayu selepas didapati bersalah atas lima pertuduhan berhubung kematian Syed Alman Zain yang ketika itu, suami Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.

Pada 14 Disember 2018, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman denda RM320,000 terhadap pusat pergigian itu iaitu orang kena saman (OKS) selepas didapati bersalah atas lima pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, OKS sebagai pemegang lesen didakwa telah gagal memastikan Noor Azima Muhamad Nuwi berkelayakan untuk menjalankan prosedur radiologi (ortopantomogram) terhadap Syed Alman Zain dan pusat tersebut sebagai pemegang lesen juga didapati telah gagal menyimpan dan menyenggarakan suatu 'Daftar Kakitangan'.

Pertuduhan ketiga pula, OKS dituduh gagal menyediakan langkah-langkah perlu bagi menyelamatkan nyawa Syed Alman Zain dengan tidak menyediakan oksigen.

Bagi pertuduhan keempat, pusat itu didakwa telah gagal mengemukakan kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya yang menerima pemindahan kecemasan pesakit iaitu Syed Alman Zain satu salinan semua rekod perubatan pesakit seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 31(1)(d) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Pertuduhan kelima pula, OKS didakwa telah gagal mengambil langkah yang mencukupi untuk melindungi semua kakitangan profesional jagaan kesihatan dan persekitaran terhadap bahaya biologikal seperti yang dikehendaki di bawah Peraturan 49(5) Peraturan-peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di pusat pergigian itu yang terletak di Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, antara jam 6 petang dan 9.05 malam, antara 26 Mei dan 2 Jun 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(4), 39(2), 40(4) dan 117(2)(b)(i) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM30,000 dan RM300,000.

Bagaimanapun, pusat pergigian ini dilepas dan dibebaskan bagi pertuduhan kedua hasil rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2020, sekali gus menyebabkan denda dikurangkan daripada RM320,000 ke RM220,000.

Pada 1 Jun 2016, media melaporkan, Syed Alman Zain meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menjalani pembedahan gigi di sebuah klinik pergigian di Bangsar.

Sepanjang perbicaraan bermula 6 Mac 2017, seramai 13 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil bagi memberi keterangan.

Pada 5 April lalu 2018, mahkamah memerintahkan pusat itu membela diri atas lima pertuduhan daripada sembilan pertuduhan yang dikenakan.

Mahkamah melepaskan dan membebaskan pusat itu atas empat pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.