PRU15: Anwar guna isu Covid-19 untuk serang Muhyiddin

Sahruddin Jamal. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Sahruddin Jamal. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

PAGOH - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan tidak bijak apabila menggunakan taktik mengaitkan kes kematian akibat Covid-19 dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berceramah sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Johor.

Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, Anwar cuba menjadikan perkara itu kononnya bagi menunjukkan kelemahan Muhyiddin mentadbir negara.

"Pandangan saya sebenarnya itu komen yang kurang bijak kerana bukan hanya Malaysia yang dilanda Covid-19 dan mengalami krisis kesihatan. Tetapi seluruh dunia.

"Memang kita ada SOP daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Bila Covid-19 tinggi semua kena duduk di rumah, tak boleh bekerja.

"Kes kematian kerana Covid-19, kita kena bandingkan dengan negara-negara lain, adakah kita yang paling tinggi, adakah kita (negara) yang paling ramai orang meninggal," katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional (PN).

Beliau ditanya pemberita mengenai tindakan Anwar yang menyerang Muhyiddin menggunakan isu berkenaan ketika membantu kempen calon PH, Onn Abu Bakar di Batu Pahat, kelmarin.

Mengulas lanjut, Sahruddin berkata, Malaysia merupakan negara yang terbaik di dunia dalam menangani masalah Covid-19 ketika di zaman Muhyiddin berbanding dengan negara-negara lain.

Beliau memberikan contoh seperti di China sehingga kini masalah yang berlaku masih ada sehingga sesetengah kawasan di negara itu masih lagi disekat.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata atas kebijaksanaan Muhyiddin mentadbir negara sebelum ini, Malaysia berjaya membawa keluar masalah itu daripada berterusan.

"Bagi saya Datuk Seri Anwar tidak bijak bila dia sebutkan perkataan itu, memang sangat-sangat tidak bijak.

"Kita apa pun bila mengatur negara ini, kita akan berbincang, kita akan tanya ketua-ketua jabatan dan profesional macam mana kita nak menangani kes Covid-19, macam mana kita nak membangunkan negara ini dengan lebih baik," katanya.

Sementara itu, Sahruddin berkata, Bersatu Johor menyasarkan untuk menawan 10 hingga 15 kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU15.

"Harus difahami Johor dipimpin Menteri Besar dari BN. Jadi kita berada di negeri pembangkang. Bagi saya sasar 10 hingga 15 (kerusi Parlimen) sahaja.

"Tetapi harus diingatkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, sebahagian Pahang dan sebahagian Perak, kami memang cukup yakin kita akan dapat banyak kerusi di situ," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) Perikatan Nasional (PN) Pagoh.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!