Sertai World #QuranConvention 3.0

Dari kiri; Marhaini, Mohd Daud dan Fazrul.
Dari kiri; Marhaini, Mohd Daud dan Fazrul.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengajak orang ramai menyertai program World #QuranConvention 3.0 bertajuk ‘Mengatasi Cabaran: Penyelesaian Daripada Surah al-Sajdah’ di Dewan Perdana MITI, Kuala Lumpur pada 3 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, World #QuranConvention merupakan program utama terakhir tahun ini yang membawa misi surah al-Sajdah, bertujuan memberi solusi dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan hari ini.

“Terdapat empat cabaran masa kini iaitu kewangan, kerjaya, keluarga dan sosial atau spiritual yang perlu ditangani dengan campur tangan ALLAH iaitu berpandukan al-Quran dan Sunnah.

“Negara yang berhadapan dengan ramalan ribut ekonomi dan bencana alam pada tahun hadapan boleh mengundang pelbagai masalah kepada individu, keluarga, dan rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, konvensyen tersebut diharap dapat membantu masyarakat untuk mengambil formula daripada ALLAH SWT iaitu al-Quran sebagai solusi menghadapi cabaran-cabaran tersebut.

“Pada masa sama, negara berada dalam fasa pasca-Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU15). World #QuranConvention diharap akan memberi kekuatan kepada kita untuk membina negara dengan barisan pemimpin yang baharu.

“Konvensyen ini bakal menjadi platform pencerahan dan resolusi yang akan diperincikan oleh para penceramah yang terkenal dengan kepakaran masing-masing dan dalam kajian al-Quran.

“Penceramah dan qari datang dari enam negara iaitu Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Palestin, Mesir dan Amerika Syarikat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dari kiri; Shaykh Mizanur, Nouman dan Syed Zainal Abidin.
Dari kiri; Shaykh Mizanur, Nouman dan Syed Zainal Abidin.

Antara penceramah yang dijemput ialah Penasihat Global Shariah, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar; Pengarah Urusan Kumpulan Dagang Nexchange Berhad, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir; Pengasas Insitut Pengajian Al-Quran dan Bahasa Arab Bayyinah, Nouman Ali Khan; agamawan dari Bangladesh, Shaykh Mizanur Rahman Azhari; dan Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail.

Konvensyen sehari itu akan dikendalikan oleh TickTalk TV sebagai pengurus projek bersama WUIF dengan kerjasama MITI, Puspanita Cawangan MITI, Sinar Harian, TV AlHijrah, Pusat Pelancongan Islam (ITC) dan Rumah Ngaji.

Marhaini berkata, surah al-Sajdah yang menjadi tema #QuranHour tahun ini menekankan formula sujud sebagai solusi kehidupan. Ia menjadi penutup program tahun ini sebelum melancarkan surah al-Insan sebagai surah pilihan #QuranHour pada 2023.

Seramai 1,300 peserta disasarkan menyertai program tersebut dengan bayaran serendah RM50 seorang.

World #QuranConvention adalah antara program utama setiap tahun yang didanai Tabung Gerakan al-Quran di bawah WUIF dalam usaha membawa misi MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah. Wakaf tersebut meliputi wakaf tunai, profesionalisme, naskhah al-Quran dan aset.

WUIF turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin berkolaborasi dan menaja penganjuran World #QuranConvention menerusi pendekatan nilai-nilai al-Quran. Penaja berpotensi boleh menghubungi wassap.my/6019-424 1780. Orang ramai yang berminat untuk menyertai konvensyen tersebut pula sila daftar di https://bit.ly/WQC2022