PRU15: Isu lantikan MB bukti Pas, Bersatu sehati sejiwa

Muhammad Sanusi (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen Kedah Cashless Adoption Campaign antara wakil kerajaan negeri dengan Payments Network Malaysia (Paynet) di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Muhammad Sanusi (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen Kedah Cashless Adoption Campaign antara wakil kerajaan negeri dengan Payments Network Malaysia (Paynet) di Wisma Darul Aman pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Pas menyifatkan adalah wajar untuk Perlis dan Pahang diterajui oleh parti itu sekiranya Perikatan Nasional (PN) dapat menawan dua negeri berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kesepakatan itu menunjukkan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memiliki persefahaman yang tinggi untuk mentadbir negeri mahupun negara.

Menurutnya, ia penting untuk kestabilan politik mahupun kerajaan di sesebuah negeri.

“Pada pandangan Pas ia sesuatu yang wajar, nampaknya Pas dan Bersatu (terbukti) sudah sehati sejiwa dan miliki pandangan sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Kedah Cashless Adoption Campaign antara kerajaan negeri dengan Payments Network Malaysia (Paynet) di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Pada Isnin, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan gabungan itu bersedia melantik pemimpin Pas menjadi Menteri Besar di Perlis dan Pahang sekiranya PN berjaya menawan dua negeri berkenaan pada PRU15.

Muhammad Sanusi berkata, cadangan itu juga menepati dari aspek pembahagian kerusi di DUN terbabit yang mana kerusi Pas melebihi kerusi diwakili Bersatu.

“Contohnya, di Pahang Pas bertanding 24 kerusi daripada 42 kerusi, jadi hakikatnya memang macam itulah.

Artikel Berkaitan:

“Sudah tentu kerusi Pas akan lebih banyak jika menang selain Pas sudah lama bertapak di Pahang mahupun Perlis. Bersatu masih baharu selepas berpecah daripada Pakatan Harapan (PH) dan masih di peringkat untuk stabilkan kedudukan parti itu,” katanya.

Menurutnya, pemimpin yang dilantik menerajui negeri seharusnya turut mengambil kira senioriti, kestabilan parti, memiliki jentera yang kukuh dan cawangan mencukupi.

“Saya sebenarnya tak terkejut dengan pengumuman Muhyiddin itu, ia perkara biasa dalam politik walaupun diumum secara tiba-tiba,” katanya.

Mengulas cadangan melantik Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Besar Pahang jika PN berjaya menawan negeri tersebut dalam PRU15, Muhammad Sanusi berkata, Pas Pusat akan menentukan perkara itu kemudian berdasarkan kesesuaian.

“Beliau bertanding di satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang dan Parlimen Kubang Kerian, sama ada beliau lebih sesuai terajui negeri atau kerajaan Pusat ditentukan kemudian.

"Saya fikir beliau antara taruhan untuk dilantik Menteri Besar Pahang jika PN menang di negeri itu,” katanya.

Tambah beliau, calon Menteri Besar dari Pas di Perlis mahupun Perak belum dimuktamadkan dan hak bagi menentukan siapa wajar dilantik akan diputuskan oleh kepimpinan Pas Pusat.

“Peluang PN untuk menang beberapa negeri lagi dilihat semakin cerah, ada gelombang ke arah berlakunya peningkatan sokongan.

"Peluang tetap ada di setiap negeri mahupun peringkat Persekutuan,” katanya.