Tiga pegawai imigresen ditahan terlibat seludup PATI

Khairul Dzaimee semasa mengadakan sidang akhbar berkenaan penahanan tiga pegawai imigresen dan keadaan di Tambak Johor menjelang pilihan raya umum di BSI, Johor Bahru pada Rabu.
Khairul Dzaimee semasa mengadakan sidang akhbar berkenaan penahanan tiga pegawai imigresen dan keadaan di Tambak Johor menjelang pilihan raya umum di BSI, Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan tiga pegawainya bagi membantu siasatan berhubung sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang telah disenarai hitam oleh kerajaan Malaysia.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, semua mereka ditahan dalam beberapa operasi yang dijalankan pihak JIM sejak 2 Oktober hingga 7 November lalu.

"Pegawai yang ditahan dalam operasi pertama di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dekat sini pada 2 Oktober lalu telah disiasat dan kini berada dalam jaminan polis.

"Tiada penglibatan pegawai Imigresen ketika operasi kedua dijalankan pada 27 Oktober di Kota Bharu, Kelantan namun seorang yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 pada 1 November lalu direman dan akan dituduh.

"Terbaharu, di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) kelmarin, seorang lagi pegawai imigresen telah disiasat," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini pada Rabu.

Turut hadir Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir.

Beliau berkata, semua pegawai yang ditahan akan disiasat dan dihukum sewajarnya sekiranya didapati bersalah pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang didapati bersalah dan tindakan buang kerja akan diambil.

"Saya tegaskan tiada kompromi, semua pihak terlibat akan disiasat dan didakwa dengan sewajarnya seperti dimaklumkan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada Selasa," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Khairul Dzaimee menegaskan, penglibatan pegawai-pegawai terbabit tidak menggambarkan tahap integriti JIM dan itu merupakan kes terpencil yang melibatkan beberapa orang pegawai sahaja.

Pada 12 Oktober lalu, JIM telah menahan seramai 25 PATI Indonesia yang telah disenarai hitam namun dibawa masuk oleh sindiket, manakala enam PATI India ditahan di KLIA 2 pada 1 November lalu.