Perang billboard hangatkan Tambun

Papan iklan Ahmad Faizal dengan ayat ‘Ayor bukan Ayaq’ yang dipasang di laluan utama pekan Tambun, sebelum ditukar dengan yang baharu dengan mesej ‘‘Mohon Doa Restu’.
Papan iklan Ahmad Faizal dengan ayat ‘Ayor bukan Ayaq’ yang dipasang di laluan utama pekan Tambun, sebelum ditukar dengan yang baharu dengan mesej ‘‘Mohon Doa Restu’.
A
A
A

KALAU ditanya kerusi mana yang cukup menarik perhatian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, pasti akan ada orang ramai yang mengatakan Parlimen Tambun.

Manakan tidak, bahangnya sudah kelihatan ketika gelanggang belum pun dibuka sepenuhnya dan semakin rancak apabila kempen berlangsung ketika ini.

Ketika calon lain memilih melancarkan perang bendera, poster, kain rentang dan gegantung sebagai sandaran berkempen, Parlimen Tambun pula lain daripada lain apabila iklan billboard calon yang hampir kesemuanya bersaiz mega mewarnai kawasan berkenaan.

Kerusi Parlimen Tambun menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-PN), Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-PH), Datuk Aminuddin Md Hanafiah (BN-UMNO) dan Abdul Rahim Tahir (GTA-Pejuang).

Pada PRU14 lalu, Ahmad Faizal yang ketika itu bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) menang dalam persaingan tiga penjuru dengan majoriti 5,320 undi.

Beliau yang kini menjawat jawatan nombor dua dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memikul tanggungjawab besar untuk mengekalkan kemenangan di Parlimen berkenaan.

Oleh kerana itu, tidak hairanlah Ahmad Faizal terlebih dahulu menekan butang 'perang' apabila menaikkan papan iklan bernada sinis 'Ayor bukan Ayaq'.

Papan iklan tersebut dipasang di laluan utama pekan Tambun dan dinaikkan betul-betul sehari selepas Anwar pada 20 Oktober lalu mengesahkan diri untuk bertanding.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Faizal yang juga bekas Menteri Besar Perak turut mengirimkan satu hantaran video melengkapkan 'buah tangan' mengalu-alukan kehadiran ketua pembangkang itu ke Tambun.

"Saya nak 'bagitahu' sikit. Di Tambun, orang panggil ‘ayor’ bukan ‘ayaq’, terima kasih selamat datang," perli Ahmad Faizal.

Selepas kira-kira 10 hari, di satu kawasan lain, terpampang pula ungkapan kata-kata keramat 'Never Lost in Tambun'.

Papan iklan di pasang pada jejambat lebuh raya memaparkan wajah Ahmad Faizal dengan kiriman satu mesej jelas bahawa beliau tidak akan kalah di Tambun.

Ini mungkin satu permainan kata yang memberi impak tersendiri sesuai dengan tarikan lokasi pelancongan terdapat di situ iaitu 'Lost World of Tambun'.

Tidak sampai seminggu, Ahmad Faizal yang mesra disapa YB Peja melakukan hatrik menerusi papan iklan baharu menunjukkan arah susur keluar ke utara.

Tulisan 'Dari Tambun Susur Keluar ke Utara 50m (meter)' itu dinaikkan di lokasi jejambat sama menggantikan papan iklan sebelumnya.

Sepertinya memberi bayangan kepada Anwar yang dilahirkan di Ceruk Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang iaitu kawasan utara Malaysia arah sebenar keluar dari Tambun dengan menggunakan laluan lebuh raya berdekatan.

Terbaharu, penduduk Tambun dan sekitarnya dapat melihat satu lagi papan iklan dinaikkan, kali ini dengan mesej sopan santun daripada YB Peja.

Papan iklan tertera 'Mohon Doa Restu' dilengkapi potret bersama keluarganya termasuk isteri, Datin Seri Dr Nomee Asyikin Mohammed Radzi itu sebagai simbolik bagi beroleh kemenangan pada pilihan raya ini. Paparan itu sedikit mengejutkan orang ramai kerana menyangka perang billboard sudah berakhir.

Namun, PH juga tidak hanya bertindak sebagai pemerhati apabila dua papan iklan gergasi sudah dinaikkan di laluan utama dan lebuh raya ke Tambun dengan memaparkan gambar Anwar dan mesej 'Dari Tambun untuk Malaysia'.

Percaturan dan permainan papan iklan di Tambun itu telah menarik perhatian dan menjadi bualan orang ramai bukan sahaja kalangan masyarakat setempat, malah media sosial.

Di laman sosial, ramai yang kagum dengan kesungguhan YB Peja merancakkan kempen pilihan raya dengan cara tersendiri, lebih kreatif dan sinis sudah tentunya.

Namun di sudut lain, ada juga yang menegur bahawa alangkah baiknya jika peruntukan memasang papan iklan itu digunakan bagi membaik pulih jalan-jalan rosak di sekitar Tambun.

Melewati hari demi hari kempen, ramai juga sebenarnya yang menunggu apa paparan iklan seterusnya yang akan disajikan YB Peja di Tambun.

Dengan terkenalnya Tambun sekarang, jangan pula 'limau bali Tambun' naik harga selepas ini.

*Normawati Adnan ialah Wartawan Sinar Harian