‘Tuduhan saya bankrap langsung tidak berasas’

Jamal
Jamal
A
A
A

SHAH ALAM - “Tuduhan saya sebagai seorang yang bankrap langsung tidak berasas,” tegas Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai status kes terkait dengan penyandang Parlimen Seputeh, Teresa Kok Sui Kim berhubung perintah kebankrapan yang dikeluarkan oleh mahkamah terhadapnya.

Beliau memaklumkan, pihak mahkamah telah menetapkan 30 November depan sebagai tarikh mendengar sebutan kes.

“Ini baharu sebutan kes. Saya pun tidak tahu daripada mana asasnya Teresa mengatakan saya bankrap.

“Proses bayaran ini belum berlaku lagi, lama lagi. (Perlu) melalui proses rayuan dan sebagainya. Itu akan mengambil masa lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam program Sinar Live bertajuk Jamal ‘YB’ kontroversi? yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Sinar Live bersama Datuk Seri Jamal Md Yunos yang bertanding merebut kerusi Parlimen Sungai Besar yang diadakan di Sekin Fisherman Village Hotel & Resort, Sekinchan.
Sinar Live bersama Datuk Seri Jamal Md Yunos yang bertanding merebut kerusi Parlimen Sungai Besar yang diadakan di Sekin Fisherman Village Hotel & Resort, Sekinchan.

Sebelum ini, Teresa mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menolak pencalonan calon BN Parlimen Sungai Besar itu daripada menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Artikel Berkaitan:

Ia berikutan Jamal didakwa masih belum membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 kepada Teresa selepas kalah dalam kes saman fitnah terhadapnya atas dakwaan menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) pada Julai lalu.

Mengulas mengenai serahan notis kebankrapan, Jamal berkata, beliau akan menerima serahan notis tersebut pada Rabu ini, jam 11 pagi.

“Esok ada sidang media saya menerima notis kebankrapan saman daripada Teresa. Saya bukan orang yang tidak bertanggungjawab dan menghormati (keputusan mahkamah).

“Apabila mahkamah sudah memutuskan saya kalah, saya akan terima. Saya pun ada satu saman nak hantar kepada Teresa, tetapi beliau berlari-lari tidak mahu menerima saman tersebut.

“Jadi esok adil, saya terima saman kebankrapan daripada beliau dan saya akan serahkan saman fitnah yang mengatakan saya bankrap.

“Saya tahu tujuan beliau menghantar surat kepada ketua SPR untuk tidak membenarkan saya bertanding itu adalah propaganda berniat jahat untuk memburukkan saya,” jelas beliau.