Isu tempatan jadi asas manifesto Fathul Bari

Fathul Bari (dua dari kanan) beramah mesra dengan penduduk di sekitar Utan Aji, Kangar pada Selasa.
Fathul Bari (dua dari kanan) beramah mesra dengan penduduk di sekitar Utan Aji, Kangar pada Selasa.
A
A
A

KANGAR - Lima aspek meliputi soal pembangunan ekonomi, sosial dan kebajikan menjadi fokus calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dalam membentuk manifesto yang mahu ditawarkan kepada rakyat di kawasan berkenaan.

Menurut Fathul Bari, permasalahan perniagaan feri di Kuala Perlis, pengangguran, masalah air, pendidikan dan kebajikan antara manifesto bersasar yang mahu diketengahkan kepada kira-kira 35,000 pengundi di Parlimen Kangar.

Jelasnya, beliau mahu memberi keutamaan kepada masalah perkhidmatan feri yang sering mengalami gangguan akibat tersangkut ekoran daripada pasang surut air laut.

“Di Kangar ini juga, isu pengangguran perlu diberi perhatian dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak-anak muda. Mereka adalah kelompok yang menjadi keutamaan kepada saya.

Fathul Bari (kiri) bertemu peniaga di pasar pagi Utan Aji, Kangar pada Selasa.
Fathul Bari (kiri) bertemu peniaga di pasar pagi Utan Aji, Kangar pada Selasa.

“Ketiga isu air yang mana berlaku di seluruh negeri tetapi saya mahu beri tumpuan untuk selesaikannya,” katanya kepada Sinar Harian selepas melakukan aktiviti kempen di pasar pagi Utan Aji di sini pada Selasa.

Fathul Bari berkata, dua lagi perkara yang akan menjadi asas kepada pembentukan manifesto beliau adalah soal pendidikan berkaitan isu ponteng sekolah dan dadah dalam kalangan pelajar serta meneruskan aktiviti kebajikan membabitkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan masjid.

“Saya akan terus menjalankan kerja-kerja kebajikan yang telah dimulakan sejak lima tahun lepas seperti ‘tagline’ saya politik khidmat, K4K yang membawa maksud ‘Kangar For Kangar’.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa terdekat, saya akan keluarkan manifesto yang lebih jelas dan berfokus kerana kita telah selesai mengenal pasti keperluan penduduk di kawasan Parlimen Kangar dan paling penting, realistik dan relevan.

“Tidak boleh keluarkan manifesto yang tidak relevan seperti jika hari ini menang, esok harga minyak turun, tol dihapuskan. Kalau macam itu, saya pun boleh kata kalau menang, esok ada airport (lapangan terbang) di Perlis tapi tidak logik dan realistik,” ujarnya.