Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan fokus rakyat, ekonomi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur pada 7 Mei lepas. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur pada 7 Mei lepas. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan julung kali esok akan menjadi medan terbaik bagi menoktahkan sebarang usaha untuk mengganggu-gugat kestabilan politik negara sekali gus menumpukan fokus dan usaha kerajaan kepada rakyat.

Konvensyen yang dijangka menghimpunkan 10,000 perwakilan daripada 19 parti politik gabungan Kerajaan Perpaduan itu akan berlangsung ketika terdapat desas-desus ada pihak yang ingin menjatuhkan kerajaan.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Jamaie Hamil berkata, konvensyen yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur itu berlangsung tepat pada waktunya bagi memperlihatkan keutuhan Kerajaan Perpaduan sebagai sebuah barisan kepimpinan negara, termasuk kepada pemerhati dan pelabur luar.

"Menerusi konvensyen ini, mereka dalam Kerajaan Perpaduan dapat membuktikan usaha-usaha untuk menjatuhkan kerajaan itu merupakan sesuatu yang sia-sia.

"Perwakilan perlu menunjukkan bahawa mereka yang dahulunya merupakan seteru politik mampu memberikan komitmen kerjasama, kesepaduan, toleransi dan taat setia antara satu sama lain dalam konvensyen ini,” katanya kepada Bernama.

Konvensyen itu bermula pada jam 10 pagi dengan Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan dan Konvensyen Nasional Pemuda Puteri Kerajaan Perpaduan, masing-masing di Dewan Merdeka dan Dewan Tun Hussein Onn, di venue sama.

Ia disusuli Bicara Rakyat yang terbahagi kepada tiga sesi iaitu Memperkasa Ekonomi Rakyat, Membina Negara Bangsa dan Malaysia Madani.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, menerusi segmen itu, pemimpin-pemimpin parti Kerajaan Perpaduan akan membicarakan mengenai komitmen kerajaan dalam menyelesaikan isu rakyat termasuk ekonomi, masa depan pembinaan negara bangsa dan konsep Madani dalam pelaksanaan agenda rakyat.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat peluang ini harus digunakan sebaiknya oleh kepimpinan parti dan negara untuk menjelaskan dasar kerajaan serta menghapuskan sebarang persepsi negatif pada segenap lapisan.

Beliau berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan hasil titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah ekoran negara mengalami Parlimen tergantung, menyaksikan banyak pihak terutamanya akar umbi memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan kerjasama itu.

"Maka, konvensyen ini yang julung kali mengumpulkan semua rakan dalam Kerajaan Perpaduan dan bukan hanya di peringkat pemimpin ialah platform terbaik untuk menjelaskan hala tuju kerajaan,” katanya.

Mohd Azizuddin berkata, konvensyen yang diadakan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri juga sudah tentu akan mempersiapkan jentera dan memperkemas kerjasama antara parti-parti di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Satu jentera baharu iaitu Geng Perpaduan yang melibatkan semua sayap pemuda parti gabungan juga akan dilancarkan sempena konvensyen itu bagi memperkukuh kerjasama dan mengatur gerak kerja dalam menghadapi PRN.

Bertemakan 'Madani Mewajahi Masa Depan Malaysia', acara kemuncak konvensyen ialah amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan serta menyaksikan persetujuan deklarasi Kerajaan Perpaduan pada 3.30 petang.

Menurut Jamaie, deklarasi berkenaan dapat memenuhi harapan rakyat untuk melihat sebuah dokumen atau komitmen jelas daripada parti-parti membentuk Kerajaan Perpaduan dalam menggariskan hala tuju sebuah kerajaan yang stabil dan utuh sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sebelum ini, Anwar dipetik sebagai berkata, beliau yakin Kerajaan Perpaduan yang menerajui negara ketika ini akan kekal sehingga PRU seterusnya.

"Insya-ALLAH, kita Kerajaan Perpaduan kekal penuh sehingga PRU akan datang. Saya sangat yakin atau saya tidak akan mengeluarkan kata-kata ini,” katanya semasa melancarkan sambutan ulang tahun ke-75 Bulan Sabit Merah Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO berkata, UMNO tidak akan sesekali lelah dalam menawarkan penyelesaian tuntas kepada permasalahan rakyat meliputi usaha meningkatkan taraf ekonomi, pembasmian kemiskinan tegar dan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara paling kompetitif dan pesat membangun.

Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula dipetik berkata, gabungan itu akan terus memperkukuh kerjasama pelbagai parti dalam Kerajaan Perpaduan dan menyifatkan kerajaan yang ada sekarang hasil daripada gabungan yang sangat stabil. - Bernama