Agrobank serah 10 motosikal roda tiga kepada asnaf Kedah

Aminuddin (kiri) dan Syeikh Zakaria memegang replika kunci pada Majlis Penyerahan FoodMotor yang diadakan di Dewan Dato’ Syeikh Mahmood Naim, di Alor Setar pada minggu lalu.
Aminuddin (kiri) dan Syeikh Zakaria memegang replika kunci pada Majlis Penyerahan FoodMotor yang diadakan di Dewan Dato’ Syeikh Mahmood Naim, di Alor Setar pada minggu lalu.
A
A
A

ALOR SETAR – Agrobank dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menerusi Program Usahawan Asnaf Motor Roda Tiganya telah menyerahkan 10 motosikal roda tiga bernilai RM93,357.70 kepada usahawan asnaf di negeri itu.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, program itu merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat Agrobank yang bertujuan membantu asnaf terpilih meningkatkan pendapatan mereka melalui perniagaan menggunakan motosikal roda tiga.

“Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Agrobank untuk menggalakkan semangat dan membina kemahiran keusahawanan dalam komuniti asnaf di negeri Kedah. Ia juga membuka peluang baharu kepada bakal usahawan daripada golongan asnaf meningkatkan tahap sosioekonomi mereka dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa berikutan pasca Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, melalui program yang berasaskan pembangunan perniagaan usahawan asnaf ini, Agrobank menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai lagi usahawan asnaf yang berdikari, proaktif dan berdaya saing.

“Mereka juga terlibat dalam aktiviti ekonomi berasaskan pertanian dan agromakanan, sekali gus berupaya keluar daripada status asnaf fakir dan miskin,” katanya.

Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank, Aminuddin Amenon bersama Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman telah menyampaikan motosikal tiga roda kepada asnaf pada Majlis Penyerahan FoodMotor yang diadakan di Dewan Dato’ Syeikh Mahmood Naim, di sini pada minggu lalu.

Artikel Berkaitan: