Jangan sesekali undi parti lain: Muhammad Sanusi

Barisan kepimpinan menyanyikan lagu PN pada Majlis Pelancaran PN BEST dan Manifesto PN Peringkat Negeri Kedah di Pendang Convention Centre, di Pendang, pada malam Isnin.
Barisan kepimpinan menyanyikan lagu PN pada Majlis Pelancaran PN BEST dan Manifesto PN Peringkat Negeri Kedah di Pendang Convention Centre, di Pendang, pada malam Isnin.
A
A
A

PENDANG - Pengundi dinasihatkan membuat keputusan bijak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk memastikan masa depan mereka terjamin.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta rakyat di Malaysia supaya tidak sesekali mengundi parti lain terutamanya BN.

Beliau berkata, negara dikhuatiri akan jatuh merudum, sekali gus tidak akan pulih semula sekiranya rakyat salah membuat pilihan pada 19 November ini.

“Siapa di belakang calon-calon BN, cuba tuan-tuan semua tengok, suluh tengok betul-betul tengok. Takkanlah nak serah sekali lagi negeri ini kepada mereka.

“Jikalau rakyat serah juga,maka hangpa (kamu) bodoh. Mengapa hendak serah kepada BN, selepas itu ada dakwa harga barang naik, padi tidak ada harga, baja naik dan macam-macam lagi dan datang kepada saya,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata sedemikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran PN BEST dan Manifesto PN Peringkat Negeri Kedah di Pendang Convention Centre, di sini, pada malam Isnin.

Beliau berkata, generasi baharu kini diwakili orang muda yang cerdik pandai dan pelajar universiti yang boleh mengundi buat pertama kali,sekaligus mereka diharapkan membuat pilihan bijak.

“Pilih satu parti yang bersih dan stabil untuk kita serahkan urusan negara ini ke tangan mereka. Mudah-mudahan dengan pilihan yang kita buat itu, negeri ini selamat untuk generasi akan datang diami,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, kerajaan di bawah PN sebelum ini telah menghasilkan begitu banyak kejayaan bagi negara dan menyelamatkan Malaysia dari satu kehancuran akibat wabak Covid-19.

“Kita ada pengalaman yang lebih dahulu daripada itu, (yang mana) negara ini telah hancur kerana isu rasuah, isu penyelewengan, bawa lari duit.

“Mereka masih datang untuk menawarkan khidmat kepada kita, kononnya kami sudah bersih, kami sudah insaf, kami ini cerdik memerintah negara macam-macamlah dia maklum. Tetapi yang kita tahu macam lain kan. Sebahagian besar orang itu masih bersama mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi berharap supaya pengundi tidak membuat kesilapan buat kali kedua ataupun ketiga pada PRU15 ini.

Dalam perkembangan lain, kata Muhammad Sanusi, manifesto PN dibuat berdasarkan pengalaman parti itu menguruskan negara ketika sukar dan ketika keadaan kembali pulih.

Beliau menyifatkan, kehadiran pemimpin-pemimpin negara daripada parti terbabit yang berpegang pada prinsip bersih daripada rasuah dan juga penyelewengan akan membawa negara yang lebih berjaya pada masa hadapan.