Dakwaan dalam proses anugerah tender hanya persepsi: KASA

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

PUTRAJAYA - Dakwaan bahawa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang dalam proses untuk menganugerahkan tender projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 ketika ditadbir oleh kerajaan sementara (Caretaker) hanyalah bersifat persepsi sahaja.

KASA dalam satu kenyataan memaklumkan, sejak pembubaran Parlimen pada 10 Oktober, kementerian menangguhkan segala proses perolehan berkaitan dengan Projek Tebatan Banjir secara Off-Budget (2023 – 2030) termasuk pengeluaran Surat Niat, Surat Pelawaan, Surat Setuju Terima dan sebarang bentuk rundingan dengan pihak kontraktor atau perunding termasuk Kerja-kerja Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat.

Menurut kenyataan itu, langkah tersebut selaras dengan mesyuarat khas ketua setiausaha kementerian dan ketua perkhidmatan pada 11 Oktober lalu dan pekeliling Kementerian Kewangan (MOF) bertarikh 18 Oktober 2022 serta garis panduan Peranan dan Fungsi Kerajaan Caretaker yang diluluskan jemaah menteri pada 7 Oktober.

"Garis panduan itu antara lain menetapkan apa-apa komitmen kontraktual atau aku janji hendaklah dielakkan termasuklah apa-apa rundingan atau aku janji baharu yang boleh mengikat dan membebankan serta memberi implikasi kewangan kepada kerajaan baharu.

"KASA sentiasa cakna dan patuh kepada peraturan yang berkaitan dalam tempoh kerajaan sementara ini. Justeru itu, kenyataan tersebut tidak berbangkit sama sekali dan hanya bersifat persepsi sahaja," kata kenyataan itu pada Selasa.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menuntut penjelasan Menteri KASA, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung dakwaan status projek kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang didakwa dalam proses mendapat kelulusan.

Dakwanya, kementerian itu sedang dalam proses untuk menganugerahkan tender tersebut secara rundingan terus kepada sebuah syarikat sedangkan ia tidak boleh dibuat oleh kerajaan sementara.

Bagaimanapun tuduhan itu segera ditepis Tuan Ibrahim dan meminta Rafizi membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mempunyai bukti.

Artikel Berkaitan:

Penyandang kerusi Parlimen Kubang Kerian itu turut meminta peguamnya melihat dari aspek undang undang mengenai dakwaan Rafizi tersebut.