Perkasa industri kelapa antarabangsa

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah (tengah) merasmikan Persidangan dan Pameran Kelapa Antarabangsa yang diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre. Foto Sinar Harian/Rosli Talib.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah (tengah) merasmikan Persidangan dan Pameran Kelapa Antarabangsa yang diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre. Foto Sinar Harian/Rosli Talib.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan kerjasama International Coconut Community (ICC) menganjurkan Persidangan dan Pameran Cocotech Antarabangsa ke-50 tahun 2022 (COCOTECH 2022) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

COCOTECH 2022 yang bertemakan ‘Climate Change Adaptation and Mitigation Strategy for a Resilient and Sustainable Coconut AgroIndustry’ berjaya menarik 400 peserta dari seluruh negara bermula hari ini sehingga 11 November nanti.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah bagi persidangan COCOTECH adalah pada tahun 1996.

Timbalan Menteri (I), Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, COCOTECH 2022 mengetengahkan isu-isu global yang memberi impak terhadap industri kelapa dunia.

“Antaranya termasuk isu penyesuaian agronomik dan genetik kelapa terhadap perubahan iklim, pemuliharaan dan penggunaan sumber genetik kelapa.

“Persidangan ini amat penting bagi pembangunan eksport hijau produk kelapa serta kepentingan dalam meningkatkan kesihatan awam dan pencegahan penyakit,” katanya ketika merasmikan majlis COCOTECH 2022 di KLCC di sini pada Isnin.

Sebahagian peserta dari dalam dan luar negara menghadiri Persidangan Pameran Kelapa Antarabangsa.
Sebahagian peserta dari dalam dan luar negara menghadiri Persidangan Pameran Kelapa Antarabangsa.

Beliau berharap diskusi dan solusi terhadap isu-isu terbabit mampu memperkukuh serta melonjakkan industri kelapa khususnya di peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau lagi, ia juga diharap memastikan industri berkenaan terus berdaya tahan dan mampan.

“Bagi Malaysia kelapa merupakan tanaman industri keempat terpenting selepas kelapa sawit, padi dan getah.

“Jumlah keluasan tanaman seluas 84,942 hektar dan pengeluaran tahunan sebanyak 560,984 tan kelapa melibatkan 66,000 petani,” katanya.

Kerajaan melalui MAFI sentiasa memastikan kolaborasi strategik awam-swasta terutama di peringkat antarabangsa akan menjadi usaha berterusan untuk memperkukuh jenama produk tempatan di dalam dan luar negara sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negara dalam sektor pertanian serta agromakanan.

ICC terdiri daripada 20 negara pengeluar kelapa termasuk Malaysia yang menyumbang lebih daripada 90 peratus pengeluaran dan eksport kelapa dunia.

Antara negara ahli ICC ialah Federated States of Micronesia, Fiji, Filipina, Guyana, India, Indonesia, Jamaica, Kenya, Kiribati, Marshall Islands, Papua New Guinea, Samoa, Solomon Islands, Sri Lanka, Thailand, Timor Leste, Tonga, Vanuatu dan Vietnam.

Dr Lalith Perera
Dr Lalith Perera

Sementara itu, peserta COCOTECH 2022, Dr Lalith Perera yang berasal dari Sri Lanka berkata, persidangan berkenaan sangat penting dalam membincangkan masa depan industri kelapa.

“Melalui persidangan ini, para peserta dari pelbagai negara dapat berkolaborasi dan bertukar pendapat terutama mendepani masalah perubahan iklim.

“Ia perlu dilakukan untuk survival industri kelapa,” tuturnya.

No Image Caption

Bagi peserta dari Kenya, Grace Gladys Kithusi pula, dia sangat teruja apabila kali pertama menyertai persidangan berkenaan.

“Saya sangat bertuah kerana dapat mengikuti persidangan ini apatah lagi apabila Kenya berdepan dengan masalah hujan sejak dua tahun lalu.

“Senario tersebut secara tidak langsung mengakibatkan penurunan pokok kelapa sebanyak 30 peratus sekali gus,” ujarnya.

Asep Jembar Mulyana
Asep Jembar Mulyana

Salah seorang peserta dari Indonesia, Asep Jembar Mulyana pula memberitahu, produk berasaskan kelapa perlu diberi perhatian kerana berupaya memulihara alam sekitar.

“Sebagai contoh, tempurung kelapa yang dibangunkan untuk menjadi arang. Ia bukan sahaja mesra alam sekitar tetapi bertindak menyelamatkan ribuan pokok-pokok.

“Justeru, saya merasakan industri kelapa ini sangat berpotensi dan perlu diketengahkan untuk mendapat perhatian pemain-pemain antarabangsa,” katanya.

Persidangan COCOTECH 2022 turut menyaksikan Malaysia membentangkan dua kertas kerja bertajuk ‘IoT Based Smart Irrigation System in Management of Coconut Nurseries’ yang disampaikan Pengarah Bahagian Kejuruteraan Pertanian, Jabatan Pertanian Malaysia, Airul Asmiza Khaeruddin.

Pengurus Penyelidik, United Plantations Bhd, Kandha Sritham pula membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Good Agricultural Practices in Supporting Coconut Production and Industries’.

Pakar-pakar kelapa lain yang membentangkan kertas kerja termasuk Benjamin R. Madrigal Jr dari Filipina, Dr Joko Purbopspidari (Universiti Sam Ratulagi, Indonesia), Dr Anitha Karun (ICAR-Central Plantation Crop Research Institute (CPRCRI) India).

Sebanyak 40 reruai pameran daripada syarikat dalam dan luar negara berkaitan produk serta perkhidmatan kelapa turut dipamerkan sepanjang persidangan.