Isytihar harta bukti saya telus: Calon terkaya PKR

Mohamad Suparadi
Mohamad Suparadi
A
A
A

TANAH MERAH - "Isytihar harta bukti saya telus", demikian tegas calon PKR Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor yang bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mohamad Suparadi atau lebih mesra disapa dengan panggilan Datuk D berkata, tindakan itu selari dengan keputusan parti dan merupakan satu perkembangan baik untuk arena politik negara bagi memastikan pemimpin bersih daripada amalan rasuah.

"Tindakan ini amat baik, buat apa kita nak sorok. Saya bimbang jika menang PRU ada kata kekayaan yang dimiliki itu hasil rasuah.

"Bila nak jadi pemimpin, kita perlu berani isytiharkan berapa harta yang ada," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, jumlah harta itu meliputi nilai hartanah yang terdapat di Papua New Guinea berkerluasan 1,000 hektar dan menjadi pemegang saham sebanyak 20 peratus.

Katanya, jika harta itu dijual nilaian semasa berjumlah RM500 juta.

"Saya bukan cari kekayaan dalam politik. Saya sudah cukup (harta) untuk kehidupan bersama keluarga selain membuat kebajikan kepada orang kampung.

"Saya tidak perlu menggunakan jawatan untuk terima rasuah dan memperkayakan lagi diri. Itu mesej yang nak disampaikan pada rakyat. Sebab itulah saya membuat pengisytiharan harta," katanya.

Media tempatan melaporkan, Mohamad Suparadi menjadi calon terkaya PKR pada PRU15 apabila memiliki aset bersih berjumlah sehingga RM106.1 juta.

Menurut laman calonkeadilan.org, nilai itu menyaksikan beliau mengatasi 40 calon yang sudah mengemas kini dokumen pengisytiharan harta mereka, setakat pukul 11 pagi kelmarin.

Aset bersih Ketua Cabang Tanah Merah yang diisytiharkan setakat 30 September itu meliputi wang tunai di bank yang berjumlah RM300,000; 40,000 unit saham di DSN Capital Sdn. Bhd. yang bernilai RM400,000 dan 20,000 unit saham di iLimo Stalite Ltd. (P&G) yang bernilai RM100 juta.

Selain itu, Mohamad Suparadi yang mewakili PH pada PRU15 kali ini mempunyai tiga unit kediaman yang bernilai sehingga RM5.3 juta dan sebuah kenderaan berjenama BMW yang bernilai RM100,000.