Lenyapnya tasik merah jambu

Tasik Retba atau Lac Rose yang merupakan tasik merah jambu terkenal di Senegal.
Tasik Retba atau Lac Rose yang merupakan tasik merah jambu terkenal di Senegal.
A
A
A

RUFISQUE - Maguette Ndiour berdiri di tebing Tasik Retba atau Lac Rose yang merupakan tasik merah jambu terkenal di Senegal sambil menunjukkan sekumpulan lelaki yang sedang mengumpulkan baki timbunan garam di bawah terik matahari.

"Hanya baki 200 tan garam yang kami dapat kumpulkan ketika paras air banjir semakin meningkat. Kami akan menjualnya dalam tempoh dua bulan sebelum tasik itu lenyap sepenuhnya," kata Ndiour yang merupakan ketua persatuan pengumpul garam buatan.

Menurutnya, proses penghasilan garam dijangka mengambil masa sehingga empat tahun sebelum dapat dituai.

Hujan lebat luar biasa yang dikaitkan dengan fenomena perubahan iklim telah memberi impak besar kepada tasik merah jambu yang terletak kira-kira 40 kilometer di timur laut ibu kota Dakar yang turut menjadi tarikan utama pelancong.

Tasik cetek yang terpisah dari Atlantik oleh permatang pasir yang sempit itu mengandungi garam mineral yang tinggi seperti Laut Mati selain menjadi sumber pendapatan kepada penduduk setempat.

Ketika musim hujan mencapai kemuncak pada Ogos lalu, paras tasik itu telah meningkat hampir tiga kali ganda berbanding kedalaman biasa sekitar enam meter.

Pelombong garam memasukkan baki mineral yang berjaya dikumpulkan untuk dieksport ke negara jiran.
Pelombong garam memasukkan baki mineral yang berjaya dikumpulkan untuk dieksport ke negara jiran.

Keadaan itu telah 'melenyapkan' kira-kira 7,000 tan garam yang masih belum dituai sekali gus mengakibatkan kerugian berjumlah hampir suku juta dolar.

Artikel Berkaitan:

Jelas Ndiour, kira-kira 3,000 keluarga menjadikan kerja mengekstrak garam dari dasar tasik yang kemudiannya diangkut ke dalam bot dan dikeringkan di pantai sebagai mata pencarian mereka.

Tetapi, simpanan garam kini lebih cair kerana isi padu air yang dibawa hujan lebat berterusan hingga menyebabkan tahap kedalaman tasik sukar dicapai oleh penggali dari bahagian tebing tasik tersebut.

"Tiada lagi tasik merah jambu kerana 'kehilangan' kandungan garam yang tinggi. Ia merupakan khabar buruk kepada sektor pelancongan," ujar Ndiour lagi.

Pada kemuncak musim panas di Senegal bulan lalu, pelancong warga Perancis, Julien Heim, 21, berkunjung ke Tasik Retba.

"Pemandangannya indah, cuma tiada lagi teres di bahagian tebing dan tiada lagi tasik merah jambu," katanya dengan nada kesal.

Sementara itu, pemilik kedai di hadapan tasik itu, Maimouna Fedior, 47, berkata, banjir yang melanda kawasan itu telah mengakibatkan kesengsaraan kepada mereka.

"Saya kehilangan banyak barangan cenderahati termasuk lukisan untuk dijual. Kami sememangnya bergantung penuh kepada sektor pelancongan memandangkan saya telah berniaga selama 30 tahun," kata ibu kepada empat anak itu.

Ketika ini, beberapa pihak mula menuding jari menyalahkan antara satu sama lain sebagai punca yang menyebabkan tasik merah jambu itu lenyap.

Namun, aktivis pencinta alam melihat keadaan terkini Tasik Retba sebagai petanda 'bencana' kepada mereka. - AFP