Mogok lapar: Pemimpin pembangkang Senegal dimasukkan ke hospital

Ousmane Sonko
Ousmane Sonko
A
A
A

NAIROBI - Pemimpin pembangkang Senegal, Ousmane Sonko dimasukkan ke hospital pada Ahad, seminggu selepas beliau melancarkan mogok lapar, agensi berita Jerman (dpa) memetik laporan Radio France International (RFI) pada Ahad.

Sonko - calon presiden Parti Patriot Senegal untuk Etika, Kerja dan Persaudaraan (PASTEF) - telah ditahan seminggu lalu.

Beliau memulakan mogok lapar sebagai protes terhadap apa yang disebutnya 'kebencian, pembohongan, penindasan dan penganiayaan'.

Lelaki berusia 49 tahun itu dianggap sebagai pencabar paling kuat kepada parti Alliance pour la République yang diketuai oleh Presiden Macky Sall.

Pada Jun, Sonko dijatuhi hukuman penjara dua tahun atas tuduhan penderaan seksual. Sonko membidas dakwaan itu dan mendakwa ia bermotifkan politik.

Protes ganas tercetus selepas keputusan mahkamah itu diumumkan, manakala sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh.

Penahanan terbaharu Sonko berlaku selepas perbalahan dengan pasukan keselamatan di luar kediamannya di Dakar.

Senegal tidak pernah mengalami peperangan atau pergolakan yang ganas sejak kemerdekaan pada 1960.

Sall ialah presiden keempat negara itu. Pembangkang menuduhnya menggunakan kuasa untuk menyingkirkan pesaing terbesarnya. - Bernama