Dua direman seleweng RM3.5 juta peruntukan Sukma Perak

Penjawat awam (hadapan) dan pengurus syarikat (belakang) di bawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas SPRM mendapatkan tempoh reman di sini hari ini.
Penjawat awam (hadapan) dan pengurus syarikat (belakang) di bawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas SPRM mendapatkan tempoh reman di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Dua lelaki direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan ke atas wang peruntukan kerajaan negeri Perak bernilai RM3.5 juta.

Kedua-dua suspek yang merupakan penjawat awam dan pengurus sebuah syarikat pengurusan majlis direman selepas dipercayai terlibat dalam penyelewengan berhubung kerja-kerja pembekalan semasa penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 September tahun lalu.

Kedua-dua suspek berusia 44 dan 39 tahun yang berpakaian lokap SPRM, dibawa ke Mahkamah Majistret dengan diiringi pegawai SPRM sekitar jam 11.00 pagi.

Permohonan reman dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, R Kumuthambal di depan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.

Melati Diana kemudiannya membenarkan penjawat awam yang berkhidmat di pentadbiran kerajaan negeri direman selama enam hari manakala pengurus syarikat pengurusan majlis direman selama lima hari untuk disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Terdahulu kedua-dua lelaki tersebut ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM Perak jam 4.30 petang semalam bagi memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

Menurut sumber SPRM, penjawat awam berusia 44 tahun itu dipercayai turut menerima rasuah melebihi RM165,000 daripada pembekal-pembekal yang dipilih untuk pembekalan dan sewaan acara temasya sukan berkenaan.

Menurutnya lagi, SPRM turut menahan empat pengurus syarikat berusia antara 40 hingga 77 tahun selepas dipercayai terlibat dalam penyelewengan terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Mereka bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan selepas percakapan direkodkan," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi, mengesahkan penahanan dua lelaki berkenaan.