Parti politik gagal senarai 30 peratus calon wanita

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pemantauan PRU15 (PantauPRU15) kesal berikutan kegagalan kebanyakan parti politik mengiktiraf wanita sebagai pemimpin dan menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

PantauPRU15 dalam satu kenyataan berkata, menerusi data yang diperoleh pada 3 November lalu, pihaknya mendapati peratusan calon wanita bagi kerusi Parlimen yang diumumkan tidak sampai 30 peratus.

Menurut kenyataan itu, Pakatan Harapan (PH) menjadi parti politik paling banyak menamakan wanita sebagai calon PRU15 sebanyak 18 peratus, diikuti Gerakan Tanah Air (GTA) sebanyak 13.3 peratus dan BN sebanyak 11 peratus.

"Perikatan Nasional (PN) hanya mengemukakan calon wanita sebanyak 9.3 peratus, Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebanyak 16.1 peratus dan Gabungan Rakyat Sabah-BN sebanyak 12.5 peratus.

"Prestasi PH banyak disumbang oleh DAP yang mencapai 25.4 peratus calon wanita pada PRU15. Ini diikuti 20 peratus oleh Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), sebanyak 17 peratus masing-masing oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), sementara Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengumumkan 19.4 peratus calon Wanita.

"Sungguhpun tidak mencapai sasaran yang diharapkan, namun ada sedikit petanda baik apabila jumlah wanita yang dicalonkan mencatat penambahan," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Tambah kenyataan itu, UMNO yang telah mengumumkan kelulusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk meletakkan 30 peratus calon wanita dalam PRU15, bagaimanapun hanya menamakan 10 peratus calon wanita manakala dua calon wanita pada PRU14 digugurkan.

"Parti komponen yang berada dalam BN, MCA mencatat jumlah tertinggi menamakan wanita sebagai calon iaitu sebanyak 16 peratus, manakala MIC sebanyak sembilan peratus.

Artikel Berkaitan:

"Dalam komponen PN, Pas mencatat sebanyak 12.5 peratus meskipun jumlah itu mencatat penurunan berbanding PRU-14, sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya mencapai 7.2 peratus dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mencatat 10 peratus.

"Sungguhpun terdapat kemajuan dalam beberapa parti politik, jelas bahawa secara amnya pemimpin parti politik tidak menghormati dan mengiktiraf kepimpinan wanita yang sangat berkaliber dan mampu mengubah corak kepimpinan parti dan urus tadbir negara dengan gemilang," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, apa yang mendukacitakan adalah mungkir janji yang dibuat oleh MKT UMNO.

"Kebolehpercayaan adalah penting bagi rakyat dan kita berpegang kepada harapan untuk memilih kerajaan yang boleh dipercayai melaksanakan komitmen kepada semua golongan rakyat.

"Peningkatan calon wanita adalah tanggungjawab bagi parti menunaikannya. P

"antauPRU15 sekali lagi menggesa semua parti politik untuk menyemak semula dan membuat perubahan senarai pencalonan bagi membuktikan parti politik anda mengiktiraf dan menghormati kepimpinan wanita," kata Pantau PRU15.