'Dunia politik banyak unsur negatif'

Abdullah (kanan) ketika diwawancara oleh Asmaliza dalam program Kompas Edisi Khas PRU-15 bertajuk Suara Hati Anak Seni pada Khamis.
Abdullah (kanan) ketika diwawancara oleh Asmaliza dalam program Kompas Edisi Khas PRU-15 bertajuk Suara Hati Anak Seni pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Senario dalaman dunia politik yang banyak mengandungi unsur negatif menjadikan bidang tersebut cuba dijauhi golongan anak muda.

Pensyarah muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Abdullah Mohd Redza berkata, generasi muda mungkin tidak suka dengan percaturan dan permainan politik kerana banyak menampilkan unsur negatif berbanding sisi positif.

Beliau yang lebih dikenali Dollah Gambus Al-Linggi berkata, unsur negatif seperti pertelingkahan dan perbalahan melampau yang disiarkan secara umum menjadikan politik tempatan atau dunia politik kurang diminati atau diberi perhatian oleh anak muda.

Anak kelahiran Kuala Linggi, Negeri Sembilan itu berkata, anak muda terutama mereka yang berada dalam dunia muzik atau hiburan tidak suka kepada aksi pergaduhan berlebihan dalam kalangan ahli politik kerana jiwa orang seni adalah halus.

"Pada pendapat saya, anak muda tidak berminat dengan dunia politik kerana apa yang mereka nampak berlaku di sekeliling mereka banyak dipenuhi dengan aksi gaduh-gaduh atau pertelingkahan.

"Jiwa anak muda terutama anak seni ini hatinya lembut dan halus. Mereka tidak suka kepada pergaduhan atau pertelingkahan, perbuatan tikam belakang serta perbuatan hasad dengki yang melampau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU-15 bertajuk Suara Hati Anak Seni yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis. Rancangan itu dihoskan oleh Asmaliza Mansor.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, proses dalam bidang muzik itu sendiri telah mengajar anak seni untuk saling bantu membantu terutama ketika berada di atas satu pentas bagi menghiburkan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, konsep yang diamalkan di atas pentas itu telah 'diserap' dalam kehidupan seharian pemuzik, seterusnya bertentangan dengan dunia politik yang dilihat sering bercakaran.

Untuk itu katanya, dunia politik perlu nampak lebih murni di mata seniman dan dapat digambarkan dengan satu yang lebih murni terutama kepada generasi anak muda.

Malah dengan cara seumpama itu menurutnya, ia mungkin boleh menjadi penarik minat untuk anak muda menceburi bidang politik atau mengetahuinya secara lebih mendalam.

Ditanya mengenai harapan sebagai anak seni, Abdullah memberitahu, semua pihak mengharapkan sebuah negara yang aman biar siapa sekalipun yang memerintah.

Katanya, kebanyakan anak seni tidak ambil kisah siapa yang menerajui negara, asalkan negara dapat membangun dan ekonomi berada dalam keadaan stabil.

"Isu siapa mentadbir negara bukan perkara utama kepada anak seni. Orang muzik hanya hendak mereka yang dilantik itu berjaya membentuk politik negara yang stabil, maka lebih banyak persembahan dapat dilakukan dan mata pencarian akan menjadi lebih baik," jelas beliau.

Sementara itu, ditanya ciri calon PRU15 yang perlu dipilih oleh anak muda, Abdullah berkata, meskipun tidak boleh mewakili pandangan daripada semua orang, namun lima ciri calon pemimpin yang boleh diberi pertimbangan oleh anak muda adalah mereka yang bersih iaitu bebas daripada sebarang kesalahan akhlak atau terlibat dengan apa-apa jenayah.

Selain itu, tambah Abdullah, beliau secara peribadi tidak suka kepada calon pemimpin yang memburukkan ahli politik daripada parti lain, lebih teruk jika memburukkan rakan seperjuangan politik di dalam satu parti yang sama.

Jelasnya, seseorang calon pemimpin harus mempunyai kapasiti dan latar belakang baik, selain memiliki tahap pendidikan terbaik kerana mereka adalah golongan yang akan membuat keputusan terbaik kepada rakyat.