Che Abdullah guna peluang diberikan BN untuk tebus maruah

Che Abdullah (kiri) selepas Majlis Penyampaian Watikah Kepada Calon BN pada Jumaat.
Che Abdullah (kiri) selepas Majlis Penyampaian Watikah Kepada Calon BN pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Penyandang kerusi Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi akan menggunakan peluang yang diberikan BN untuk menebus maruahnya selepas mendakwa beliau difitnah.

Che Abdullah turut mendakwa, fitnah berat itu menyebabkan ada dalam kalangan pimpinan Pas yang menyebut menjadi satu dosa jika memberikan sokongan kepada beliau.

"Ini adalah maruah saya. Cara saya difitnah menyebabkan tiada peluang untuk memberikan penjelasan sehingga ada yang menyebut, 'letak batang pisang pun boleh menang asalkan bukan Datuk Che Lah'," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Kepada Calon BN di sini pada Jumaat.

Che Abdullah mengakui tidak memusuhi rakan-rakan Pas walaupun bertanding atas tiket BN.

"Saya tidak tergamam (terkejut) bertanding dalam BN kerana sebelum ini sudah menjalin hubungan baik dengan mereka.

"Selama ini saya merupakan wakil rakyat yang 'buta warna' dan tidak melihat kepada bendera parti. Saya tetap membantu mereka yang memerlukan walaupun berlainan parti," katanya.

Che Abdullah juga memberitahu, beliau tetap menghormati dan menghargai jasa rakan-rakan Pas.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berharap kehadirannya di pentas BN dapat menyatukan penyokong Pas dan UMNO.

"Saya tidak mahu meletakkan harapan tinggi untuk menarik penyokong Pas kepada BN.

"Tetapi saya yakin keluarga dan rakan-rakan yang tahu perkara sebenar dan bersimpati akan terus membela maruah saya," katanya.

Mengulas mengenai penyandang Parlimen Bachok, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz yang diuar-uarkan diangkat sebagai calon sebelum ini, Che Abdullah berkata, mereka saling mempunyai kefahaman bahawa masyarakat dan umat Islam perlu disatukan.

"Kami selalu berkongsi pandangan dan mempunyai matlamat yang sangat suci untuk menjaga negara kerana tiada cara lain melainkan orang Melayu dan umat Islam," katanya.

Pas pada Jumaat membuat kejutan menggugurkan dua nama besar dalam politik di negeri ini iaitu Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menerusi pengisytiharan itu, Pas menamakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi sebagai pengganti kepada Che Abdullah, sementara Nik Mohamad Abduh digantikan Mohd Syahir Che Sulaiman.