PRU15: Che Abdullah bertanding tiket BN

Che Abdullah bertanding tiket BN.
Che Abdullah bertanding tiket BN.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Penyandang Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi sah akan bertanding di Parlimen itu atas tiket BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sambil menyifatkan Che Abdullah adalah calon boleh menang dan BN lega apabila tawaran dibuat itu diterima beliau.

“Teka teki sudah terjawab dan Che Abdullah akan bertanding atas tiket BN di Parlimen Tumpat

“BN memberi laluan kepada Che Abdullah kerana beliau boleh menang,” katanya ketika ditemui di Pejabat Perhubungan UMNO Kelantan di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berkata, akar umbi UMNO Bahagian Tumpat juga menerima baik kehadiran Che Abdullah.

“Kami akui menawarkan kerusi Tumpat kepada Che Abdullah dan mengadakan pertemuan dengan beliau. Kita rasa lega apabila Che Abdullah bersetuju dengan tawaran yang diberikan.

“Kali ini, BN akan memberi saingan sengit kepada Perikatan Nasional (PN) di Parlimen itu,” jelas beliau.

Sementara itu, Che Abdullah hanya memberi respon ringkas ketika diajukan berkaitan pertandingan menggunakan tiket BN bagi merebut kerusi Parlimen Tumpat.

Artikel Berkaitan:

“Insya-ALLAH, tunggu saja nanti,” katanya.

Che Abdullah tiba di Pejabat Perhubungan UMNO Kota Bharu pada jam 10 pagi Khamis untuk mengisi borang pencalonan.

Ahmad Jazlan Yaakub dan penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa serta Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Zulkifli Abdullah turut dilihat hadir sebagai tanda sokongan.

Pada Rabu, Che Abdullah digugurkan daripada calon Perikatan Nasional (PN) di Kelantan pada PRU15 melalui pengumuman dibuat oleh Pengerusi PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

PN meletakkan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi sebagai calon di kerusi berkenaan.