Beri 2.96 juta kerja seluruh negara

Melalui Program Subsidi Upah yang diperkenalkan pada 1 April lalu

A
A
A

Tengku Zafrul (empat dari kanan) bergambar bersama penerima manfaat Perkeso pada Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia pada Khamis.
Tengku Zafrul (empat dari kanan) bergambar bersama penerima manfaat Perkeso pada Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia pada Khamis.

Kerajaan memberikan tumpuan menurunkan kadar pengangguran dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus berusaha memulihkan semula sektor ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, usaha itu secara tidak langsung membantu pekerja mendapatkan peluang pekerjaan.

“Alhamdulillah, ini sekali gus menangani isu pengangguran dan kehilangan pekerjaan yang dialami oleh Keluarga Malaysia berikutan pandemik Covid-19.

“Kita dapat lihat kejayaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) semasa dalam krisis Covid-19 yang menurunkan kadar pengangguran dan membantu bukan sahaja pekerja tetapi peniaga dan pengusaha dengan program subsidi upah dan sebagainya,” katanya di sidang akhbar selepas Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia di One Plaza di sini pada Khamis.

Penganjuran karnival kerjaya itu menyaksikan sebanyak 5,643 peluang pekerjaan ditawarkan oleh 26 majikan.

Karnival yang dianjurkan di seluruh negara ini merupakan usaha kerajaan dalam memastikan pencari kerja terutamanya golongan belia mendapat peluang pekerjaan daripada pelbagai sektor.

Artikel Berkaitan:

Tengku Zafrul memberitahu, kerajaan menyalurkan kira-kira RM21 bilion kepada 358,158 majikan melalui Program Subsidi Upah sejak ia diperkenalkan pada 1 April lalu.

Tengku Zafrul menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang majikan yang menyertai karnival kerjaya
Tengku Zafrul menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang majikan yang menyertai karnival kerjaya

Ujar beliau, perlaksanaan program itu menyelamatkan lebih 2.96 juta pekerjaan di seluruh negara.

“Ini adalah hasil pendekatan kerajaan yang sentiasa mendengar dan menghayati keluh-kesah pekerja dan majikan serta terus selesaikan melalui pelbagai langkah yang padu dan dilaksanakan dengan rapi,” jelasnya.

Menurut Tengku Zafrul, dalam memastikan kesejahteraan rakyat terutamanya belia, kerajaan juga menyokong penuh program penempatan pekerjaan melalui portal MYFutureJobs, sebuah portal pekerjaan negara yang dikelola oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Perkeso.

Kata beliau, portal itu berfungsi sebagai portal pencarian pekerjaan dan juga perancangan kerjaya.

Ujar beliau, sehingga 14 Oktober lalu, portal MyFutureJobs telah berjaya membantu hampir 653,000 pencari kerja mendapatkan pekerjaan di seluruh negara.

“Daripada jumlah tersebut, lebih 454,000 adalah penerima insentif Program Penggajian Penjana Kerjaya dan Program Jamin Kerja – Insentif Penggajian,” jelasnya.

Tingkatkan peluang kerja

Menurut beliau, Perkeso dengan kerjasama beberapa kementerian turut memperkenalkan Pusat Satelit MYFutureJobs bagi meningkatkan peluang pekerjaan khususnya komuniti luar bandar.

Katanya, sehingga kini, terdapat 150 Pusat Satelit di pelbagai lokasi seluruh negara dan 12 daripadanya adalah di negeri Selangor antaranya di Paya Jaras, Pulau Meranti, Bukti Kapar, Sg Gumut, Bukit Cherakah, Kampung Kundang, Taman Saujana Utama, Bangi, Kajang (iaitu di Jabatan Penjara Malaysia) dan juga di Universiti Malaya.

Sehubungan itu, jelas beliau, melalui Bajet 2023, kerajaan bercadang membangunkan 13 lagi Pusat Satelit MYFutureJobs di Pusat Transformasi Bandar (UTC) seluruh negara bagi menambah kepada 150 pusat satelit sedia ada.

No Image Caption

“Pusat satelit ini adalah penting untuk merapatkan jurang di antara kerajaan Persekutuan dan penduduk di bandarbandar kecil dan di peringkat akar umbi.

“Selain itu, Perkeso juga diberi mandat untuk bekerjasama dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) untuk mereka tubuhkan National Placement Centre di Lembah Klang sebagai pusat sehenti bagi rakyat dan belia mencari pekerjaan,” jelasnya.

Menurut Tengku Zafrul, kementeriannya dengan KSM serta PSMB menubuhkan Upskill Malaysia yang merupakan sebuah platform sehenti yang menyediakan maklumat berkaitan semua program latihan dan pembangunan kemahiran melalui pelbagai kementerian dan agensi.

“Ia juga merangkumi platform pembelajaran dalam talian iaitu e-LATiH oleh PSMB, yang menawarkan kursus dalam talian secara percuma kepada rakyat dan belia Malaysia oleh penyedia latihan bertaraf antarabangsa dan tempatan yang bereputasi tinggi,” ujarnya.

Jelas beliau, selain dari pelaksanaan kadar baharu gaji minimum iaitu RM1,500 bermula 1 Mei lalu, kerajaan melalui KSM dan agensinya Perkeso juga mengambil pendekatan holistik dengan menyokong pelbagai jenis pekerjaan dan sektor termasuk mereka yang terlibat dengan pekerjaan sektor ekonomi gig.

“Bermula tahun 2021 sehingga kini, seramai 58,456 individu pekerja sendiri telah dibantu melalui penyediaan Insentif KerjayaGig dan SIP Gig,” tambahnya.

Menurut Tengku Zafrul, majikan juga diberi insentif kewangan sehingga RM42,000 untuk tempoh 12 bulan bagi setiap pekerja baharu yang digajikan melalui Inisiatif JaminKerja.

“Jika anda memperoleh pekerjaan di negeri lain iaitu luar daripada negeri yang diduduki sekarang, kerajaan bercadang menyediakan bantuan mobiliti sebanyak RM500 secara one-off yang dibayar terus kepada pekerja,” kata beliau.

Reaksi

NAZMI NIZAR
NAZMI NIZAR



‘Saya hadir ke karnival kerjaya ini untuk mencari peluang pekerjaan bersesuaian memandangkan ketika ini saya masih berada pada semester akhir pengajian dalam bidang teknologi komputer.” - Nazmi Nizar Adnan, 19, Saujana Utama.

‘Saya sudah tiga tahun menganggur dan inilah masa paling sesuai untuk saya kembali bekerja dengan menyertai karnival kerjaya seperti ini,” - Nor Adila Mohd Ariff, 36, Kuala Selangor.

‘Saya datang ke karnival kerjaya ini untuk mendapatkan nasihat daripada Perkeso mengenai peluang pekerjaan dalam bidang teknologi elektronik, moga saya dapat pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan yang ada.” - Muhammad Firdaus Mohd Haizam, 23, Kapar.

S DARMENDRA
S DARMENDRA

'Saya mengetahui penganjuran karnival kerjaya ini daripada rakan dan berharap ia memberi peluang pekerjaan setelah lapan bulan menganggur.” - S. Darmendra, 46, Kapar.

RUZANA
RUZANA



‘Selepas tamat pengajian di sebuah institusi awam, saya tidak bekerja kerana penularan Covid-19 dan kini berharap cita-cita saya untuk menjadi seorang akauntan tercapai menerusi peluang kerjaya disediakan.” - Ruzana Zainal Abidin, 32, Selayang

‘Saya datang ke karnival kerjaya ini kerana ingin mencari pekerjaan tetap kerana sebaik menamatkan pengajian, saya hanya meraih pendapatan melalui perniagaan dalam talian.” - Muhammad Danial, 26, Ijok.

.