[VIDEO] LCS: Rafizi dakwa kenalan Abd Latiff turut terima keuntungan

Rafizi (kiri) dan Chean Chung ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pada Khamis.
Rafizi (kiri) dan Chean Chung ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa kenalan perniagaan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, Jaya Sudhir Jayaram yang cuba mendapatkan konsesi mengendalikan aplikasi MySejahtera turut mendapat keuntungan daripada projek kapal tempur pesisir (LCS).

Calon Parlimen Pandan itu mendakwa, Jaya Sudhir pernah terbabit dalam pelbagai kontroversi skandal besar termasuk skandal jual beli minyak dengan kerajaan Iraq yang turut melibatkan rakan perniagaannya, Noor Aishah Mahmood (adik ipar bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah).

"Jaya Sudhir rapat dengan Abd Latiff melalui pegangan mereka di dalam sebuah syarikat yang turut dinamakan di dalam Laporan Audit Forensik LCS iaitu Mega P Asia Sdn Bhd.

"Abd Latiff merupakan pengasas dan pemegang saham asal di dalam syarikat ini yang mendapat pelbagai kontrak pertahanan laut dari anak-anak syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) termasuk untuk membekalkan tenaga kerja kepada projek-projek di bawah BNS," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, Jaya Sudhir juga adalah satu nama yang sering disebut pemimpin kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pemberi maklumat (yang terlibat dalam peringkat awal perancangan projek LCS).

"Jaya Sudhir bukanlah nama yang asing bagi mereka yang pernah berurusan dengan kontrak-kontrak besar negara.

"Rekodnya menunjukkan dia ada hubungan dengan ahli-ahli politik di Malaysia dan Sri Lanka serta pernah terpalit dengan pelbagai kontroversi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain skandal jual beli minyak dengan Iraq, Rafizi berkata, carian di internet menunjukkan dia pernah dilaporkan ditangkap di Sri Lanka kerana cuba menyeludup keluar wang berjumlah AS$100,000 (bersama-sama anaknya) yang melanggar undang-undang negara tersebut.

Menurut Rafizi, akibat kegiatan perniagaan Jaya Sudhir dengan tokoh-tokoh berprofil tinggi di Sri Lanka, pihak media di sana telah menjalankan pelbagai siasatan termasuk mendedahkan penglibatannya di dalam skandal jual beli minyak mentah dengan Iraq di bawah sekatan perdagangan PBB (dikenali sebagai oil for food).

"Siasatan Sunday Times dan media antarabangsa mengenai peranan Jaya Sudhir di dalam skandal jual beli minyak dengan merasuah kerajaan Iraq dan melanggar undang-undang Malaysia mendedahkan tiga perkara.

"Jaya Sudhir dan dua lagi rakan perniagaannya yang dinamakan di dalam siasatan Jawatankuasa Siasatan Bebas (The Independent Inquiry Committee into the United Oil-for-Food Programme) telah dituduh merasuah rejim Saddam Hussein sehingga RM10 juta untuk mendapat kontrak membeli minyak mentah dari Iraq di bawah skim itu.

"Dua lagi rakan perniagaannya yang dinamakan itu adalah pemilik Mastek Sdn Bhd (syarikat yang didedahkan terlibat dalam skim merasuah rejim Saddam Hussin), Noor Aishah (adik ipar Pak Lah dan Faek Ahmad Sharef (bekas suami Noor Aishah).

"Modus operandi Jaya Sudhir dalam skim-skim seperti ini termasuklah mewujudkan syarikat-syarikat palsu (shell company) seperti Keppel Oil," dakwa beliau lagi.

Rafizi menambah, dalam kontroversi terkini, Jaya Sudhir juga dinamakan sebagai watak utama yang cuba mendapatkan konsesi Kerajaan Malaysia untuk mengendalikan aplikasi MySejahtera.

Katanya, laporan di portal berkenaan isu-isu kesihatan, Code Blue mendedahkan syarikat P2 Aset Management Sdn Bhd yang dikawal Jaya Sudhir (melalui dua anaknya iaitu Jonathan Jaya Sudhir dan Gregory Jaya Sudhir) adalah salah satu pemegang saham dalam MySejahtera Sdn Bhd.

"MySejahtera Sdn Bhd adalah syarikat yang akan mengambil alih aplikasi MySejahteradari pembangun asalnya.

"Setelah pengambilalihan, MySejahtera bebas memasuki perjanjian konsesi dengan kerajaan Malaysia untuk membangunkan lagi penggunaan aplikasi MySejahtera (sama ada dibayar oleh Kerajaan Malaysia atau dikomersialkan).

"Sebagai salah satu pemegang saham dalam MySejahtera, P2 Aset Management Sdn Bhd yang dikawal oleh Jaya Sudhir telah menyaman pemegang-pemegang saham lain dalam pertelingkahan korporat (corporate dispute).

"Jaya Sudhir juga dilantik sebagai Ketua Pembangunan Perniagaan (Chief Business Development Officer) MySejahtera yang sudah tentu akan merundingkan sebarang konsesi dan perjanjian dengan Kerajaan Malaysia," kongsinya.

Rafizi menjelaskan, satu syarikat yang disebut dikaitkan dengan Jaya Sudhir adalah JSD Corporation Pte Ltd yang telah dinamakan sebagai penerima bayaran khidmat teknikal oleh BNS bagi khidmat yang tidak wujud.

"Apatah lagi nama syarikat JSD adalah tepat dengan akronim nama Jaya Sudhir. Semakan dengan pendaftar syarikat di Singapura menunjukkan nama Jaya Sudhir tidak ada dalam daftar pemegang saham atau pengarah, iaitu modus operandi yang diketahui telah digunakan sebelum ini dalam skandal-skandal lain.

"Oleh itu, walaupun nama Jaya Sudhir tidak ada secara rasmi di dalam JSD Corporation Pte Ltd, saya beranggapan perkara ini perlu disiasat dengan lebih mendalam oleh pihak berkuasa memandangkan rekodnya yang terbabit dalam banyak skandal besar negara dan modus operandi yang licik sebelum ini apatah lagi apabila ada bukti bahawa Jaya Sudhir rapat dengan Abd Latiff," ulas beliau.

Dakwa Rafizi lagi, semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan bagaimana kedua-dua anak Jaya Sudhir iaitu Johnathan dan Gregory telah menggantikan Abd Latiff dan adiknya, Abdul Aziz Ahmad sebagai pengarah di dalam Mega P Asia Sdn Bhd pada 10 March 2020 (iaitu sekitar tarikh selepas berlakunya Langkah Sheraton sebelum Abd Latiff kemudiannya menyertai Jemaah Menteri.

Tegas beliau, bukti-bukti itu jelas menunjukkan talian hubungan di antara tokoh-tokoh politik dan ahli perniagaan yang mempunyai rekod buruk seperti Jaya Sudhir.

"Hakikatnya Jaya Sudhir terkait di dalam tiga skandal besar negara setiap satu dekad (iaitu dari 2000 ke 2010 semasa pentadbiran Tun Abdullah, 2010 ke 2020 di dalam skandal LCS dan kini 2020 ke 2030 di dalam skandal MySejahtera) menunjukkan bagaimana berpengaruhnya kroni-kroni di belakang tabir seperti ini.

"Dengan pendedahan ini, saya menunggu maklum balas Abd Latiff setelah bukti demi bukti ditunjukkan bagaimana dia adalah watak penting di dalam skandal LCS melalui hubungan perniagaan dengan Alizes Marine Ltd dan kini Jaya Sudhir dan maklum balas dari Jaya Sudhir sendiri," katanya.

Sementara itu, Rafizi turut mengalu-alukan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk tampil memberi penjelasan kerana Jaya Sudhir dikaitkan dengan konsesi MySejahtera.

"Saya pasti Khairy akan beri respons dalam kes MySejahtera yang dikaitkan dengan Jaya Sudhir kerana perkara ini boleh disalahgunakan untuk mencemarkan nama beliau sendiri selain skandal Jaya Sudhir 20 tahun lepas dikaitkan dengan keluarganya (Khairy adalah menantu Pak Lah).

Selasa lalu, media melaporkan Rafizi mendakwa syarikat yang dinamakan dalam laporan audit forensik LCS, JSD Corporation Pte Ltd mempunyai kaitan dengan Abd Latiff.

Abd Latiff yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan didakwa berada di belakang JSD Corporation Pte Ltd yang menerima bayaran dalam skandal LCS.