Orang Asli, aktivis desak permit 19 kuari dikaji semula

Salleh memberikan penerangan berkenaan impak terhadap pembukaan 19 kuari baharu pada sidang akhbar di Dewan Orang Ramai Kampung Orang Asli Hulu Kuang pada Rabu.
Salleh memberikan penerangan berkenaan impak terhadap pembukaan 19 kuari baharu pada sidang akhbar di Dewan Orang Ramai Kampung Orang Asli Hulu Kuang pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Penduduk Kampung Orang Asli Hulu Kuang dan Kampung Orang Asli Bukit Lagong mendesak kerajaan negeri Selangor mengkaji semula keputusan meluluskan 19 kuari baharu untuk beroperasi di kawasan berkenaan.

Difahamkan keputusan yang dibuat pada tahun 2018 dan 2019 itu melibatkan kawasan pengkuarian dengan keluasan 800.50 hektar di Hutan Simpan Bukit Lagong.

Ketua Kampung Orang Asli Hulu Kuang, Hara Busu berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan kenyataan Exco Pelancongan Alam Sekitar Negeri, Hee Loy Sian yang menyatakan bahawa operasi kuari di Bukit Lagong tidak akan menjejaskan komuniti Orang Asli di situ.

“Kenyataan oleh Exco itu langsung tidak berasas kerana hutan ini adalah sumber kami mencari rezeki, ini termasuk menggunakan air sungai di sini untuk kehidupan seharian selain sumber hutan seperti buah-buahan menjadi makanan kami setiap hari.

"Jika ia terus diteroka dan dimusnahkan kami di sini akan menerima kesannya termasuk banjir kilat dan ancaman kenderaan berat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama aktivis kluster alam sekitar CSO Platform for Reform, B.E.A.CC.H (Biodiversiti, Alam Sekitar, Agroekologi, Perubahan Cuaca dan Habitat) di Dewan Orang Ramai Kampung Orang Asli Hulu Kuang di sini pada Rabu.

Hara Busu
Hara Busu

Hara mendakwa, dua daripada tiga anak sungai di kawasan berkenaan sudah keruh akibat daripada operasi kuari sedia ada.

Artikel Berkaitan:

“Cukup-cukuplah mendera kami masyarakat Orang Asli di sini, 30 tahun kami terseksa dengan kuari-kuari sedia ada, sekarang kerajaan negeri nak tambah lagi kuari.

“Ada tiga anak sungai, dua daripadanya sudah keruh, sekarang kami bergantung pada air sungai dari Bukit Lagong. Jika air sungai ini kotor kehidupan seharian kami akan susah kerana air sungai digunakan untuk masak, mandi dan membasuh,” jelasnya.

Justeru katanya, mereka mahukan jaminan kerajaan negeri bahawa 19 kuari berkenaan tidak akan menjejaskan ekosistem dan kelangsungan hidup kira-kira 500 penduduk Orang Asli di situ.

“Kita mahu kerajaan negeri bertanggungjawab sekiranya ada masalah yang timbul disebabkan pembukaan 19 kuari baharu ini nanti, jangan lepas tangan kalau ada malapetaka berlaku,” ujarnya.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Tan Sri Dr Salleh Mohd Noor mencadangkan kerajaan negeri mengadakan pertemuan dengan penduduk Orang Asli serta kampung-kampung lain berhampiran bagi menjelaskan apa yang mereka mahu lakukan di hutan tersebut.

“Saya nak tanya dengan kerajaan negeri, boleh atau tidak kita masuk tempat orang dan buat sesuka hati, kalau kita di tempat Orang Asli ini adakah kita suka?

“Kerajaan negeri wujudkan moratorium pembalakan, tapi hutan yang telah diwartakan sebagai hutan simpan boleh pula diteroka untuk dijadikan kuari, ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

Tambahnya, aktivis dan penduduk telah membawa isu berkenaan kepada bekas Ahli Parlimen Selayang, William Leong kerana kesan perlombongan kuari ini akibatnya lebih buruk daripada pembalakan.

“Kita mahu kerajaan negeri ikut apa yang disyorkan oleh ahli Parlimen berkenaan, sepatutnya tidak ada permit melombong kuari diluluskan selepas enam kawasan lagi permitnya akan tamat pada tahun hadapan," jelasnya.