Kegiatan jual diesel bersubsidi dalam kilang terbongkar

Antara barang dan peralatan yang dirampas di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Kampung Seelong, Senai, Kulai, pada Isnin yang menjual diesel bersubsidi secara haram.
Antara barang dan peralatan yang dirampas di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Kampung Seelong, Senai, Kulai, pada Isnin yang menjual diesel bersubsidi secara haram.
A
A
A

KULAI - Kegiatan sindiket menjual diesel bersubsidi secara haram di sebuah kilang kosong terbongkar dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Kampung Seelong, Senai di sini.

Serbuan dilakukan sepasukan petugas khas Op Kontraban Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pada jam 3.30 petang pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, dalam serbuan tersebut pihaknya menahan empat lelaki tempatan dan sembilan lelaki warganegara asing berusia 24 hingga 69 tahun.

"Mereka yang ditahan itu merupakan pengurus, penjaga dan pekerja di premis berkenaan. Pihak polis turut merampas barang dan peralatan yang digunakan untuk jual beli diesel bersubsidi tanpa kebenaran yang sah.

"Anggaran diesel yang dirampas bernilai RM234,350. Siasatan mendapati sindiket tersebut sudah beroperasi sejak kira-kira tiga minggu lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kesemua suspek dan barang yang dirampas akan diserahkan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut.

"Semua suspek tidak memiliki rekod lampau berkaitan jenayah atau dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 (KPDNHEP), jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel Berkaitan: