11,727 ketua isi rumah di Kedah tergolong miskin tegar

Siti Ashah
Siti Ashah
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 11,727 ketua isi rumah (KIR) di Kedah dikategorikan sebagai miskin tegar berdasarkan data eKasih.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Insan dan Kesejahteraan Masyarakat negeri, Datuk Siti Ashah Ghazali berkata, daerah Kota Setar merekodkan jumlah ketua isi rumah miskin tegar tertinggi iaitu seramai 1,690 diikuti Sik (1,620).

"Seramai 1,600 ketua isi rumah miskin tegar direkodkan di Kubang Pasu, Baling (1,523) dan Kuala Muda (1,456).

"Jumlah keseluruhan ketua isi rumah miskin tegar direkodkan di negeri ini adalah 11,727," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Azhar Ibrahim (Ayer Hitam-Pas) berhubung jumlah keluarga miskin tegar di Kedah.

Bagaimanapun, Siti Ashah berkata, seramai 104 peserta telah dipilih untuk menyertai Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia pada tahun ini setakat 18 Oktober 2022.

"Peserta berkenaan terpilih daripada beberapa kampung iaitu Kampung Betong, Sik; Kampung Charok Kapas, Baling; Kampung Kuala Jerlun, Kubang Pasu; Kampung Tepi Laut Kota Setar dan Kampung Che Bema dan Sungai Layar, Kuala Muda," katanya.

Beliau memaklumkan, bentuk bantuan yang diberikan disesuaikan dengan kecenderungan dan kemampuan peserta sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Hal ini supaya mereka benar-benar bakal menjana pendapatan selepas menerima bantuan peralatan yang diberikan," katanya.

Siti Ashah berkata, antara contoh bentuk bantuan adalah kursus pembukaan minda dan kemahiran teknikal, peralatan pertukangan, bot dan enjin bot, peralatan pastri, set gunting rambut dan juga set pembaikan telefon bimbit.

Beliau berkata, pelbagai langkah telah dirancang bagi memastikan program itu mencapai matlamatnya.

"Pertama, tapisan bakal peserta iaitu hanya mereka yang bertaraf miskin tegar dalam eKasih supaya hanya mereka yang layak menerima bantuan.

"Kedua, jaringan kerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menjalankan profiling lengkap bakal peserta," katanya.