11 sampel baby nanas ada siklamat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sejak 2017 sehingga kini, sebanyak 11 daripada 115 sampel buah nanas kulit berkupas atau dikenali sebagai baby nanas yang diimport didapati mengandungi siklamat.

Siklamat adalah sejenis pemanis tanpa zat yang memberikan rasa manis 30 hingga 50 kali lebih daripada gula sukrosa.

Ia dibenarkan ditambah dalam makanan tertentu seperti jem, jeli dan marmalad, produk koko, sapuan koko dan coklat serta minuman berperisa.

Namun siklamat tidak dibenarkan ditambah di dalam buah-buahan segar termasuk yang telah dikupas atau sedia dimakan berdasarkan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Norrani Eksan menerusi kenyataan pada Selasa memaklumkan, pihaknya mempergiatkan pemantau ke atas pasaran tempatan terhadap produk itu.

"KKM meneruskan pemantauan ke atas buah nanas di semua pintu masuk negara dan pasaran tempatan bagi memastikan ianya mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya," katanya.

Menurutnya, Seksyen 13(B) Akta Makanan 1983 memperuntukkan tiada seorang pun boleh menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang diadukkan dengan mengandungi apa-apa bahan penambahannya tidak dibenarkan di bawah Akta Makanan 1983 atau peraturan-peraturan di bawahnya.

"Individu yang disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, peniaga diingatkan tidak mengadukkan atau menjual buah baby nanas yang mengandungi siklamat.

"KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

"Sekiranya mempunyai kemusykilan berhubung isu buah baby nanas tersebut, pengguna boleh menghubungi pejabat kesihatan daerah atau jabatan kesihatan negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq," katanya.